Tujuh belas negeri menggesa Mahkamah Agung Amerika Syarikat supaya menerima permohonan Texas untuk mencabar keputusan pilihan raya 2020 di empat buah negeri medan pertempuran.

Negeri-negeri tersebut yang diketuai oleh Peguam Negara Missouri Eric Schmitt, memfailkan tuntutan ‘friend-of-the-court brief’ pada 9 Disember, yang menekankan bahawa kes yang difailkan oleh Texas merupakan kepentingan awam terbesar dan memerlukan perhatian mahkamah tertinggi negara.

Texas memfailkan usul memohon keizinan untuk menyaman negeri Pennsylvania, Georgia, Michigan dan Wisconsin dalam usaha melindungi integriti pilihan raya 2020.

Mark Wilson/Getty Images

Negeri Lone Star itu mendakwa empat negeri medan pertempuran utama telah mengubah undang-undang pilihan raya secara tidak berperlembagaan, memperlakukan pengundi secara tidak adil, dan mencetuskan penyelewengan pengundian yang signifikan dengan melonggarkan langkah-langkah integriti pengundian.

Secara ringkas, 17 negeri berhujah bahawa tuntutan Texas yang memohon kuasa semakan oleh mahkamah tinggi kerana ia mengemukakan isu perlembagaan penting di bawah Klausa Pemilih. Ia juga menimbulkan kebimbangan tentang integriti pilihan raya dan kepercayaan rakyat terhadap pengendalian pilihan raya, tambah mereka.

Negeri-negeri berkenaan mengatakan mereka memiliki kepentingan yang kukuh untuk melindungi doktrin pengasingan kuasa tentang bagaimana pilihan raya diatur.

Apabila pegawai pilihan raya membuat perubahan dalam peraturan pilihan raya yang ditetapkan, pelaku bukan legislatif ini mungkin telah melanggar kuasa yang diberikan kepada badan perundangan negeri oleh Klausa Pemilih dalam Perlembagaan Amerika Syarikat, tegas mereka.

Di bawah Perlembagaan Amerika Syarikat, ‘masa, tempat, dan tatacara mengadakan pilihan raya’ hanya boleh ditentukan oleh ‘badan perundangan’ dan ‘Kongres’ negeri.

“Pencerobohan terhadap kuasa badan perundangan negeri oleh pelaku negeri lain adalah bermakna ini telah melanggar doktrin pengasingan kuasa dan mengancam kebebasan individu,” tulis 17 negeri tersebut.

Sementara itu, perubahan yang dibuat oleh defendan berkenaan peraturan undi melalui pos semasa pandemik COVID-19, 17 negeri berhujah, terdapat kebarangkalian peningkatan dan risiko penipuan pilihan raya, kerana mereka melucutkan hak perlindungan daripada perilaku penipuan.

Mereka menambahkan bahawa kelonggaran ke atas perlindungan undi pos telah mencetuskan “pendedahan tidak perlu terhadap penipuan sebenar dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pilihan raya.”

Gambar Hiasan/Unsplash

Beberapa perubahan yang dilakukan termasuk membuang pengesahan tandatangan, memanjangkan tarikh akhir menerima undi pos, dan gagal melaksanakan standard mengawal selia undi pos di seluruh negeri secara konsisten, dakwa tuntutan Texas.

“Perubahan-perubahan ini telah mengalihkan perlindungan yang disarankan oleh para pelaku yang bertanggungjawab selama beberapa dekad untuk mencegah penipuan dan penyalahgunaan dalam pengundian melalui pos,” kata negeri-negeri tersebut.

Negeri-negeri yang menyokong tuntutan saman Texas, yang semuanya mempunyai Peguam Negara Republikan, adalah Missouri, Alabama, Arkansas, Florida, Indiana, Kansas, Louisiana, Mississippi, Montana, Nebraska, Dakota Utara, Oklahoma, Carolina Selatan, Dakota Selatan, Tennessee, Utah dan Virginia Barat.

Texas berharap dapat memperoleh perisytiharan dari Mahkamah Agung bahawa keempat-empat negeri tersebut mengadakan pilihan raya 2020 yang melanggar Perlembagaan. Ia juga meminta mahkamah melarang pengiraan undi Electoral College yang dilancarkan oleh keempat-empat negeri itu.

Bagi defendan yang telah melantik pemilih, pihaknya meminta mahkamah untuk mengarahkan badan perundangan negeri untuk melantik pemilih baru, menurut peruntukan Perlembagaan.

Sementara itu, negeri ini juga meminta injunksi awal atau perintah penahanan sementara untuk menyekat keempat-empat negeri tersebut agar tidak mengambil tindakan untuk mengesahkan keputusan pilihan raya mereka atau untuk mencegah para pemilih presiden negeri itu mengambil tindakan rasmi. Pemilih presiden dijadualkan bertemu pada 14 Disember.

Mahkamah telah memerintahkan negeri-negeri defendan untuk memberi respon terhadap usul Texas pada jam 3 petang, 10 Disember.

Selepas pengumuman pemfailan ringkasan itu , Peguam Negara Arizona Mark Brnovich kemudian memfailkan permohonan kepada mahkamah tinggi untuk mendapatkan kebenaran memfailkan ‘friend-of-the-court brief’ sendiri untuk menyokong Texas.

Presiden Donald Trump juga telah meminta keizinan mahkamah untuk menyertai Texas dalam kes tersebut sebagai plaintif. Presiden itu menggambarkan kes berkenaan sebagai ‘perkara besar’ pada 9 Disember sambil menambah ‘Negara memerlukan kemenangan’.

Kes ini difailkan sebagai Texas lwn Pennsylvania (22O155).

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Benua Amerika GLOBAL

Video Popular