Setiap manusia berdepan dengan ujian dan cabaran yang tersendiri. Dan, setiap satunya adalah berbeza dan lazimnya diuji mengikut kemampuan diri kita untuk mengharunginya.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila penceramah selebriti terkenal Malaysia, Ustaz Ebit Lew memuat naik kiriman di laman Facebook rasminya yang menceritakan bagaimana beliau secara kebetulan telah bertemu dengan seorang pemuda yang sedang berjalan kaki di lebuh raya seorang diri.

Menerusi kiriman yang dimuat naik pada malam 5 Disember itu, Ustaz Ebit Lew menyatakan bahawa beliau ditakdirkan bertemu dengan pemuda itu ketika beliau dalam perjalanan pulang dari Melaka.

“Petang tadi saya ada nampak (pemuda ini) semasa saya nak ke Melaka seberang sana. Balik malam ini rezeki (saya dapat) bertemu (ketika pemuda ini) masih sedang berjalan tepi lebuh raya.”

Menurut perkongsian Ustaz Ebit Lew, pemuda itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru dan dia memilih untuk berjalan kaki kerana tidak mempunyai wang. Setelah berbual, Ustaz Ebit Lew kemudiannya mendapat tahu bahawa pemuda itu mahu pergi ke negeri di Selatan itu untuk mencari kerja baharu setelah tidak lagi bekerja kontrak di Kuala Lumpur.

Tambah Ustaz Ebit Lew lagi, walaupun telah dipujuk berkali-kali untuk menaiki kereta atau bas dan memberi tawaran bekerja di Kuala Lumpur, pemuda berkenaan masih lagi nekad untuk meneruskan perjalanannya ke Johor Bahru dan memulakan kehidupan baharu di sana.

“Katanya hatinya (telah) tawar dan dia dah nekad nak jalan kaki juga. Dia tak nak susahkan sesiapapun. Tak nak susahkan ustaz,” tulis Ustaz Ebit Lew menceritakan perbualan mereka berdua.

Disebabkan semua tawaran oleh Ustaz Ebit Lew ditolak mentah-mentah oleh pemuda ini, Ustaz Ebit Lew akhirnya akur dan hanya menitipkan sejumlah wang belanja untuknya. Tambah pemuda itu lagi, dia mungkin akan tiba di destinasi pada 2 hari yang akan datang.

“Jika ada rezeki ustaz kita berjumpa disana,” tulis Ustaz Ebit Lew mengenang semula dialog pemuda yang benar-benar kuat semangatnya itu.

Di akhir kiriman, Ustaz Ebit Lew turut berdoa kepada Tuhan semoga pemuda ini akan dipermudahkan segala urusannya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular