Baru-baru ini tular di media sosial perkongsian mengenai seorang mak cik yang sudah berusia tetapi dilihat masih gigih bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda.

Gambar Auntie Foodpanda itu yang dilihat sedang menunggu pesanan menggunakan aplikasi Foodpanda mendapat perhatian media dan kalangan netizen yang melihat ketabahan dan kegigihannya meneruskan kehidupan yang sukar, ketika kebanyakan rakan seusia menikmati hari tua yang lebih selesa.

Tiffany Chang/Facebook

Namun, tidak banyak cerita lebih lanjut mengenai Auntie Foodpanda ini sehinggalah pendakwah dan penceramah Ustaz Ebit Lew melawatnya sendiri di Kuala Lumpur dan berkongsi kisahnya.

Menurut Ustaz Ebit Lew di Facebook, auntie berkenaan bernama Christine Ti dan kini tinggal bersama bersama adiknya setelah ibu mereka meninggal dunia.

“Sebelum ini Auntie Christine bekerja sebagai penulis dengan majalah berbahasa Inggeris. Pandai Bahasa Inggeris, hebat tulisannya,” tulis Ustaz Ebit Lew.

“Semenjak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia sudah hilang kerja. Mula bekerja dengan Foodpanda guna kereta Kancil lama,” kongsinya.

Ketika melawat Auntie Christine, Ustaz Ebit Lew berpeluang membantunya dengan membaiki kereta Kancil lama yang digunakan untuk menghantar makanan di samping memberikannya sedikit wang belanja.

Kereta Kancil berjasa besar yang digunakan oleh Auntie Christine sudah berusia 25 tahun dan dia sangat menyayanginya, kerana ia membantunya mencari rezeki.

“Seronok menangis gembira bila saya tolong baiki kereta ini. Tukar tayar baru dan servis. Beri sedikit duit belanja,” tulisnya.

“Nanti hendak tengok rumahnya, dengarnya sudah bocor dan ada kerosakan,” tambah Ustaz Ebit Lew lagi. 

Menurut Auntie Christine ketika berbual dengan Ustaz Ebit Lew, dia gembira dengan pekerjaannya sebagai penghantar makanan Foodpanda. 

Menurutnya, semua orang melayannya dengan baik walaupun kebanyakan pekerja penghantaran adalah terdiri daripada golongan muda. Oleh kerana tiada politik kerja antara mereka, maka hubungan di kalangan mereka semua menjadi baik-baik belaka.

“Doakan auntie ini. Katanya seronok kerja begini. Anak muda semua baik-baik. Tiada politik kerja. Tengah ke sana sini. Tengok ada kerja RM4 masuk. Gembira auntie ini. Lepas itu ada lagi kerja RM7. Jarang dapat RM7. Sedihnya rasa. Kuat dan rajin,” tulis Ustaz Ebit Lew dalam posting di Facebook itu.

Ini bukan kali pertama pertama Ustaz Ebit Lew menghulurkan bantuan kepada pekerja penghantaran makanan Foodpanda, malahan beliau sebelum ini pernah menghadiahkan basikal lipat kepada beberapa orang individu yang mahu bekerja dalam perkhidmatan berkenaan tetapi tiada kenderaan atau lesen memandu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular