Seorang anggota pasukan perundangan Presiden Donald Trump mengatakan bahawa pasukan yang beroperasi secara bebas mengambil bahagian dalam audit forensik mesin dan peralatan pengundian di daerah Antrim County, Michigan – yang dicatatkan telah ‘menukar 6,000 undian dari Trump kepada Joe Biden bulan lalu oleh pegawai GOP sebelum ia dilaporkan telah diperbetulkan.

Pengauditan mesin pengundian di daerah Antrim diarahkan oleh Hakim, Kevin A. Elsenheimer pada minggu lalu berkaitan susulan cadangan ganja yang diundi pada 3 November dan bukannya mengenai pilihan raya presiden.

Peguam Trump, Jenna Ellis memberitahu Fox Business bahawa penyiasat dapat mencari lebih banyak jawapan mengenai mesin Dominion Voting Systems berikutan dakwaan mereka telah menukar undian di kawasan lain. Pegawai Dominion dan Ketua Pegawai Eksekutifnya walau bagaimanapun mengatakan bahawa agak mustahil untuk menukar undian dari satu calon ke calon yang lain.

“Ini sangat penting kerana kami mempunyai pasukan bebas di sana yang memperoleh semua pengimejan ini dan mereka menghabiskan kira-kira lapan jam semalam untuk melakukan audit forensik itu. Kami jangka akan mendapat hasilnya esok”, kata Ellis kepada hos Fox, Charles Payne pada tengahari Isnin.

Ellis tidak menjelaskan mengenai pasukan bebas yang dimaksudkan. Beliau sebelum itu memberitahu Fox News bahawa pasukan Trump mendapat akses terhadap mesin berkenaan.

Pegawai dan juga wakil daerah Antrim tidak pula mengeluarkan sebarang respon mahupun komen.

“Ini sangat penting untuk usaha integriti pilihan raya secara keseluruhan kerana bukan hanya kempen Trump yang berminat untuk mendapatkan jawapan kepada mesin ini”, kata Ellis sambil bertanya: “Adakah ianya berhubung menerusi Wi-Fi? Mengapa gangguan sebegini berlaku? Apa sebenarnya sistem yang berada di balik semua ini?”.

Penasihat undang-undang kanan kempen Trump, Ellis bercakap dengan media sambil diapit oleh peguam Trump dan bekas Datuk Bandar New York City, Rudy Giuliani dan peguam Sidney Powell pada sidang media di ibu pejabat Jawatankuasa Nasional Republikan di Washington pada 19 November 2020/The Epoch Times

Bekas peguam Trump, Rudy Giuliani minggu lalu mengatakan bahawa ia adalah kemenangan besar apabila hakim Michigan memerintahkan audit terhadap 22 mesin Dominion. Tuntutan undang-undang itu berkaitan dengan cadangan ganja yang dibawa oleh pengundi, William Bailey.

Kemudiannya hakim memerintahkan Kumpulan Operasi Keselamatan Sekutu untuk mendapatkan akses mendapatkan gambar forensik peralatan pilihan raya, lapor WPBN-TV.

Operasi Keselamatan Sekutu adalah kumpulan yang bersekutu dengan pasukan undang-undang Trump, menurut MLive.

Menurut jurucakap daerah Antrim, Jeremy Scott, kerani daerah iaitu Sheryl Guy, Baily, pentadbir daerah Pete Garwood, peguam daerah Kaz Kazim, tiga pesuruhjaya daerah, juruteknik IT daerah dan anggota jabatan kerajaan daerah berada di sana ketika pemeriksaan forensik berlangsung pada 6 Disember lalu. Malah tujuh anggota Operasi Keselamatan Sekutu juga hadir.

“Ketelusan dalam hal ini dan semua usaha kami tetap menjadi keutamaan bagi kami”, kata Guy kepada The Associated Press.

Sementara itu, seorang eksekutif dengan Dominion menuduh terdapat individu tidak berpengetahuan dan tidak bertanggungjawab yang kecewa dengan keputusan pilihan raya yang bebas dan adil, telah melancarkan kempen memburuk-burukkan untuk mencemarkan profesionalisme syarikat itu.

“Rakyat Amerika perlu memahami keselamatan sistem pilihan raya yang melibatkan strategi pertahanan pelbagai lapisan dan penjadualan kertas undian hanyalah satu bahagian kecil dari keseluruhan proses”, tulis Eric Coomer dari Dominion.

“Setiap sistem Dominion menggunakan kertas tahan lama yang dapat disahkan oleh pemilih, yang juga merupakan catatan rasmi”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular