Kes-kes yang melibatkan haiwan peliharaan yang maut akibat ditinggalkan sendirian di dalam kenderaan sememangnya bukan lagi kes baharu. Tidak kira di negara manapun, kes sebegini pasti pernah berlaku.

Walau bagaimanapun, jenama kenderaan keluaran Amerika Syarikat, Tesla, telah membuat satu inovasi baharu yang sangat mengagumkan bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlaku.

Seorang pengguna Facebook, Miranda Edwards, baru-baru ini berkongsi pengalamannya yang secara tidak sengaja bertemu dengan seekor anjing yang ditinggalkan sendirian di dalam kenderaan di tempat letak kereta. Oleh kerana rasa bimbang, Miranda memutuskan untuk pergi mendekati kenderaan berkenaan.

Walau bagaimanapun, alangkah terkejutnya Miranda apabila dia melihat bahawa anjing itu benar-benar kelihatan santai dan selesa di dalam kenderaannya, sambil menjeling Miranda yang sedang memerhatikannya dari luar kenderaannya.

Bukan itu sahaja, sebaik sahaja mendekati kenderaan yang mempunyai anjing di dalamnya itu, Miranda juga menemui satu paparan skrin pemberitahuan dari dalam kereta yang memberi keyakinan bahawa anjing yang berada di dalam kenderaan itu dalam keadaan yang selamat.

“Pemilik saya akan kembali tidak lama lagi,” tulis paparan itu bersama dengan paparan suhu di dalam kenderaan itu yang sesuai dengan anjing yang berada di dalamnya.

Melihat paparan yang canggih itu, Miranda tidak dapat menahan rasa terujanya. Selepas itu, Miranda mendapati bahawa paparan yang dilihatnya itu sebenarnya adalah salah satu perisian khas yang dicipta dalam kenderaan keluaran Tesla, iaitu Mod Anjing, yang membenarkan pemilik kenderaan untuk meninggalkan haiwan kesayangan mereka di dalam kenderaan dengan selamat.

Suhu di dalam kenderaan itu juga akan disesuaikan secara automatik dengan keperluan haiwan yang ditinggalkan. Canggih betul!

Bukan itu sahaja, jika bateri kenderaan yang ditinggalkan telah jatuh ke paras 20% dan ke bawah, perisian berkenaan juga secara automatik akan menghubungi pemilik kenderaan melalui telefon bimbit untuk memaklumkannya agar tindakan lanjut boleh dilakukan dalam masa yang paling cepat.

Memang canggih dan luar biasa sungguh ciptaan Tesla ini. Teknologi yang tiada sempadan!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular