Peniaga wanita berusia 30-an dari Kelantan menjadi salah seorang mangsa penipuan syarikat pinjaman dalam talian menerusi Facebook baru-baru ini.

Menurut laporan, insiden tersebut berlaku pada bulan Oktober lalu selepas mangsa melihat iklan pinjaman kewangan menerusi platform media sosial.

Jelas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintenden Ahmad Azizul Mohamed berkata bahawa mangsa kemudiannya berminat dengan tawaran itu.

Gambar Hiasan/Unsplash

Oleh itu, mangsa bertindak menghubungi individu yang menyamar sebagai wakil syarikat pinjaman tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

Suspek kemudian meminta mangsa untuk menghantar gambar dokumen pengenalan diri dan penyata akaun bank berserta dengan bayaran RM300 sebagai wang proses pinjaman.

Pada 27 Oktober lalu, mangsa melakukan transaksi ke satu akaun bank milik individu secara dalam talian.

Dan pada hari yang sama, suspek turut mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan sebanyak RM1,010 ke satu lagi akaun milik individu lain.

Wanita itu kemudian diminta untuk melakukan pelbagai transaksi termasuklah pembayaran proses ‘balancing’ bagi membolehkannya menerima wang pinjaman yang dipohon bersama jumlah yang sudah dibuat transaksi.

Gambar Hiasan/Unsplash

Ia atas alasan bahawa syarikat pinjaman itu akan mendepositkan sejumlah RM100,000 ke akaun bank mangsa.

Difahamkan bahawa mangsa sudah membuat lebih daripada 40 transaksi ke 15 akaun bank milik individu berbeza dengan jumlah kerugian RM43,900 sehingga 30 November lalu.

Wanita itu juga hanya menyedari dirinya ditipu sebaik sahaja ingin meminjam wang daripada saudaranya untuk membuat pembayaran sejumlah RM8,000 yang diminta suspek.

Laporan polis telah dibuat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Individu boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun atau tidak lebih 10 tahun berserta sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular