Sedar atau tidak, sudah hampir setahun pandemik COVID-19 melanda negara kita. Walaupun kes pada mulanya terkawal namun kini bilangan kumulatif kes kian bertambah dengan mendadak.

Antara golongan yang paling terkesan dengan situasi ini tidak lain dan tidak bukan adalah para petugas barisan hadapan. Mereka bertungkus lumus berjuang semenjak awal hinggalah kini.

Gambar Hiasan/Facebook

Menghadapi perit getir semasa menjalankan tugas di hospital pada waktu sebegini sememangnya merupakan antara pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh doktor ini.

Doktor tersebut, Atfina Ibrahim ada berkongsi kisahnya yang terpaksa meninggalkan keluarga di Semenanjung selama dua bulan bertugas di Semporna, Sabah.

2 bulan berlalu. 2 bulan juga aku tinggal kan keluarga di semenanjung. Tiba masa aku pulang..
Pengalaman ini tak kan aku…

Posted by Atfina Ibrahim on Saturday, 28 November 2020

Atfina Ibrahim/Facebook

Setibanya di pekan Semporna pada 25 September lalu, dia sejujurnya berasa terkejut melihat keadaan bandar yang agak ‘biasa’ – tiada penjarakan sosial, masih ramai yang keluar dan kereta penuh di jalan raya.

Walhal pada ketika itu kes semakin meningkat namun seperti tiada apa yang berlaku di sana. Pada mulanya, Atfina masih mampu tersenyum menerima satu persatu pesakit yang datang ke hospital.

Seorang pesakit wanita memberitahu dirinya demam tanpa batuk dan selesema, sementara pernafasan pula agak laju. Setelah diperiksa, kadar oksigen dalam darahnya rendah dan positif RTK 100%.

Pesakit itu walau bagaimanapun masih stabil dan tidak perlu diintubasi namun perlu mendapatkan rawatan di wad ICU. Kes itu dirujuk pada pakar lain dan Atfina meneruskan tugasannya merawat pesakit yang lain.

“Bos, ada (……) dari (……) nak bercakap dengan bos”, kata pembantu Atfina yang kemudiannya menghulurkan telefon pada doktor tersebut.

“Ya tuan. Nanti saya selesaikan dulu pesakit di zon kuning dan merah. Then saya akan rawat waris tuan di zon hijau ya. Maaf saya ada kes kecemasan sekarang”, kata Atfina yang menjawab panggilan itu.

Menurutnya, kes bukan kritikal perlu menunggu di zon hijau. “Once saya settle, saya akan rawat dia (pesakit) secepat mungkin”, pesan Atfina pada doktor percubaan di sana.

Kemudian pada lewat petang, ambulans pula menghubunginya mengatakan bahawa terdapat pesakit dengan nafas yang laju dan merupakan kontak rapat kes positif akan tiba dalam masa 15 minit.

“Pesakit itu muda, berusia 47 tahun tanpa komorbid. Kadar pernafasan 50, manakala Spo2 pula 62 di udara bilik dan 88% di bawah HFM”, kongsi doktor tersebut.

Pesakit tersebut perlu diintubasi. Dua pembantu perubatan kemudiannya menolong Atfina tatkala kecemasan. “Encik mengucap ya. Kami akan tidurkan encik. Pernafasan akan dibantu mesin ya”, ujarnya pada pesakit terbabit.

Atfina Ibrahim/Facebook

Selesai diintubasi, Atfina masih mahu meneruskan dengan beberapa prosedur lagi namun loceng kecemasan yang lain berbunyi.

Terdapat seorang lagi pesakit yang perlu diintubasi. “Ya Allah. Dari pagi sampai malam tak henti-henti. Stage 3, stage 4. Sekarang stage 5. Berapa trip ambulans pergi dan balik Hospital Tawau”.

Masing-masing membantu antara satu sama lain tatkala pesakit yang lain masih lagi ramai menunggu untuk dirawat. Namun mereka perlu mengutamakan yang kritikal.

“Begitulah pekan kecil di hujung Sabah ini di ambang COVID bermaharajalela. Hilang semua denggi, kolera dan penyakit berjangkit yang lain”.

“Kita berjuang melawan virus yang tidak nampak di mata kasar. Challenging.. Sangat challenging bagi aku untuk bertahan di ambang COVID ini”, kongsinya.

Walaupun tugasan resusitasi dan intubasi itu merupakan rutin di kecemasan dan nampak mudah namun hakikatnya penuh dengan liku. “Kehidupan di hospital daerah tidak seindah mimpi”.

“Kami juga manusia. Norma baru ini yang kami kena biasakan” – memakai sut PPE penuh lebih daripada 9 hingga 10 jam. Mereka juga tidak sempat untuk makan, minum bahkan ke tandas sekalipun.

“Itulah cabaran kami. Exhausted dan almost burn out”, tambah Atfina lagi. Begitu juga dengan petugas di lapangan yang terpaksa bertahan di bawah terik mentari berjam-jam untuk mendapatkan sampel.

Gambar Hiasan/Facebook

Tambahnya, ramai petugas yang mendapat ‘heat exhaustion’ dan hampir pengsan ketika bertugas di lapangan.

Selain itu, para petugas di pusat kuarantin berisiko rendah yang perlu berhadapan dengan beratus-ratus kemasukan pesakit dalam sehari. Mereka bersengkang mata pagi dan malam untuk memastikan semua pesakit mendapat tempat kuarantin yang selesa dan makanan.

“Walau di mana pun kami semua berkhidmat, cabaran nya tidak sama. Doktor, PPP, IK, nurses, ppk, driver, mlt, xray, dieticians malahan sedafiat/radicare”.

Tanggungjawab mereka berbeza namun mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memutuskan rantaian COVID-19.

“Tolong jangan sia-siakan usaha kami selama ini. Cukuplah untuk menidakkan kewujudan COVID, spekulasi Yahudi dan kini isu vaksin”.

“Jangan sudah terhantuk baru terngadah”, akhirinya Atfina yang mahu orang ramai untuk terapkan norma baru ini dalam kehidupan masing-masing.

Ia menurutnya bukan untuk diri sendiri sahaja malah untuk keluarga dan orang lain di sekeliling kita juga iaitu masyarakat dan komuniti.

Jadi mari sama-sama kita bantu golongan petugas kesihatan ya! Patuhi SOP dan elakkan keluar daripada rumah jika tiada urusan penting.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular