Peguam yang mengemukakan tuntutan undang-undang bagi membantu Presiden Donald Trump untuk mengetepikan keputusan pilihan raya di beberapa negeri menyatakan bahawa masih terdapat banyak masa untuk pasukan mereka terus bekerja.

“Dengan kes penipuan undi, tarikh akhir 8 Disember adalah tidak diambil kira,” kata Sidney Powell kepada Newsmax pada 4 Disember, merujuk kepada tarikh akhir ‘safe harbor’ pada 8 Disember yang membebaskan negeri daripada cabaran sekiranya ia dapat menyelesaikan semua pertikaian sebelum membawa para pemilih ke Electoral College pada 14 Disember.

“Kami mempunyai sekurang-kurangnya sehingga 14 Disember,” kata Powell yang merujuk kepada tarikh pemilihan Electoral College.

Sidney Powell bercakap semasa sidang akhbar di ibu pejabat Jawatankuasa Nasional Republikan di Washington, pada 19 November 2020. (Jacquelyn Martin/AP)

“Kami bermungkinan akan memfailkan lebih banyak tuntutan. Mahkamah di Michigan atau Wisconsin hari ini hanya memberi kami perintah yang baik untuk mengiktirafnya. Ini bukan bantahan pilihan raya yang kami failkan. Ini adalah tuntutan penipuan pengundi secara besar-besaran yang dapat mengetepikan keputusan pilihan raya kerana penipuan ini berlaku setiap saat. Negeri-negeri tidak seharusnya mengesahkan keputusan pilihan raya ketika berhadapan dengannya,” kata Powell.

Sidney Powell, yang mewakili Leftenan Jeneral (Bersara) Michael Flynn, telah memfailkan  beberapa tuntutan mahkamah untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2020. Pasukan peguam Trump pada bulan lalu berkata Powell bukan sebahagian daripada pasukan mereka setelah beliau tampil bersama Rudy Giuliani dan rakan peguam barisan Trump, Jenna Ellis.

Beberapa negeri dan media setakat ini telah mencanang Joe Biden sebagai pemenang pilihan raya. The Epoch Times belum mengisytiharkan pemenang dalam pilihan raya presiden itu berikutan tuntutan undang-undang di mahkamah dan pelbagai proses lain yang belum selesai.

Pendengaran kes dijadualkan pada 7 Disember dalam tuntutan Powell yang berusaha meyakinkan hakim untuk membenarkan pakar luar memeriksa mesin pengiraan undi Dominion Voting Systems di Georgia.

Hakim Daerah Amerika Syarikat, Timothy Batten Sr., yang dilantik oleh George W. Bush, menjadualkan pendengaran kes berkenaan setelah mahkamah rayuan menolak rayuan daripada pihak plaintif, yang diwakili oleh Powell dan peguam lain.

Ia berikutan setelah mahkamah rayuan menolak rayuan itu pada minggu lalu.

“Rayuan ini dibangkitkan pada saat terakhir litigasi yang mendakwa terdapat salah laku yang berkaitan dengan pilihan raya dan memohon supaya siasatan dijalankan. Namun begitu, isu yang berbangkit adalah persoalan tipis dalam bidang kuasa rayuan: Adakah mahkamah daerah telah mengeluarkan perintah yang mana kami mempunyai bidang kuasa untuk membuat semakan?” panel mahkamah rayuan menulis pendapat itu sepanjang 12 halaman.

“Kerana jawapan untuk pertanyaan itu adalah ‘tidak’, kita harus mengetepikan rayuan ini berikutan terdapat kekurangan bidang kuasa dan membenarkan prosiding diteruskan di mahkamah daerah, “ tambah panel itu lagi.

Powell juga mendakwa bahawa beberapa saksi yang melaporkan penipuan pilihan raya telah diganggu dan diancam dalam beberapa hari terakhir.

“Mereka akan kehilangan pekerjaan. Nyawa mereka telah terancam. Seorang saksi yang kami kenal pasti telah dipukul dan berada di hospital. Telah terdapat berbagai macam akibat yang berlaku ke atas individu-individu yang tampil untuk mendedahkan kebenaran,” kata Sidney Powell kepada Fox News, tanpa mengulas lebih lanjut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular