Seorang lelaki yang sedang menunggu barangan untuk dihantar terkedu apabila melihat tiga lelaki bertindak meninggalkan seekor anjing di tempat pembuangan sampah di Batu 12, Jalan Cheras.

Lelaki yang merupakan penghantar barangan itu, Rozaidi Hashim berkata bahawa anjing tersebut dijumpai diikat di dalam beg plastik dan dibawa ke lokasi itu dengan menaiki trak.

“Mereka menurunkan anjing itu dan berlalu pergi. Saya bergegas ke sana dan mendapati ada kecederaan yang besar pada bahagian leher anjing itu”, kata Rozaidi.

The Star

Dia kemudian membuka ikatan pada beg plastik itu lalu memberikan sedikit air untuknya minum sebelum menghubungi organisasi penyelamat anjing.

“Saya hampir mengalirkan air mata melihat keadaan anjing itu yang sungguh menyedihkan itu. Bagaimana individu itu sanggup membuang anjing yang sakit seperti sampah?”.

Walau bagaimanapun, Rozaidi sempat juga mencatatkan nombor pendaftaran trak yang digunakan untuk membuang anjing tersebut.

Pihak Malaysian Dogs Deserve Better (MDDB) yang dihubungi Rozaidi juga segera menghantar sukarelawannya ke lokasi untuk menyelamatkan anjing itu.

Malaysian Dogs Deserve Better/Facebook

Namun anjing itu telah bergerak ke bawah longkang untuk berlindung, membuatkan sukarelawan itu kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut Pengarah MDDB, Irene Low, anggota bomba kemudiannya berjaya membawa naik anjing berkenaan dan menyerahkan anjing itu pada sukarelawan tersebut.

Anjing malang itu telah dibawa ke klinik veterinar di Puchong dan mendapati bahawa terdapat satu jangkitan serius pada bahagian lehernya, selain tubuhnya yang kurus dan anemia.

Doktor haiwan yang memeriksa dan merawat anjing tersebut mengesyaki luka itu disebabkan oleh rantai yang ketat pada bahagian lehernya.

Malaysian Dogs Deserve Better/Facebook

Anjing tersebut kemudian telah diberi nama Rozi oleh MDDB dan kini sedang menjalani rawatan di klinik veterinar tersebut.

Manakala Rozaidi pula ada membuat laporan di balai polis berdekatan dengan rumahnya di Bukit Sentosa, Rawang.

Irene berharap agar lebih ramai lagi pencinta haiwan seperti Rozaidi akan mengikut jejak langkahnya.

“Anda boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berdekatan. Kita mesti pastikan bahawa sebarang tindakan kejam terhadap haiwan diberi perhatian”.

Beliau menambah bahawa tanggungjawabnya kini berada di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor untuk menangani perkara ini dengan segera.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular