TAIPEI, Taiwan – Kira-kira 5,400 orang dari semua lapisan masyarakat berkumpul di Dataran Liberty yang terkenal di Taipei pada 5 Disember yang lalu, dalam tradisi tahunan yang dikenali sebagai aktiviti membentuk perkataan yang bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai tentang penganiayaan yang masih berlaku di China.

Dengan berpakaian kuning, biru, atau putih, para peserta dipisahkan kepada beberapa kumpulan sebelum mereka diarahkan untuk duduk di atas tikar mengikut warna yang sepadan. Tikar-tikar disusun dalam bentuk yang besar beserta dengan imej sebuah buku berjudul “Zhuan Falun” di tengah-tengahnya. Zhuan Falun merupakan buku utama yang digunakan dalam amalan spiritual Falun Gong, atau juga yang dikenali sebagai Falun Dafa.

Buku itu diletakkan di atas bunga teratai. Di atas dan di bawah imej itu pula terdapat sembilan bentuk tulisan tradisional Cina, yang dibaca, “Falun Dafa Baik” dan “Sejati, Baik, Sabar adalah Baik.” Ketiga-tiga nilai tersebut adalah prinsip utama Falun Gong. Di atas tulisan tradisional Cina tersebut terdapat beberapa jalur kuning, yang mewakili sinar cahaya.

Huang Chun-mei, penganjur acara dan wakil ketua Persatuan Dafa Taiwan, menjelaskan kepentingan di sebalik imej itu dalam temu bual dengan The Epoch Times.

“Kami memilih gambar ini sebagai tanggapan terhadap wabak itu,” kata Huang yang turut menyatakan harapan agar orang-orang dapat tahu tentang Falun Gong terutama jika mereka memerlukan pertolongan pada saat-saat yang sukar.

Buku yang dipaparkan bukanlah edisi biasa “Zhuan Falun.” Dia menjelaskan bahawa buku tersebut menggambarkan salinan sebenar dari buku yang dibawa oleh orang Taiwan yang pulang dari China pada tahun 1990-an, sebelum “Zhuan Falun” diterbitkan di kepulauan itu. Oleh itu, ia adalah salah satu edisi terawal buku yang dicetak sebelum amalan ini dilarang oleh rejim komunis China pada tahun 1999, kata Huang.

Tradisi di mana sekumpulan orang untuk membentuk gambar dan perkataan yang berkaitan dengan Falun Gong bermula di China sebelum berlakunya penganiayaan terhadap pengamal Falun Gong oleh PKC di negara itu. Kini tradisi tersebut dilakukan di negara lain termasuk di Taiwan dan Amerika Syarikat, dan aktiviti pembentukan perkataan Taiwan adalah paling terperinci memandangkan sebilangan besar pengamal tinggal di kepulauan itu.

Menurut perkiraan rasmi, sebelum berlakunya penganiayaan di China, terdapat 70 hingga 100 juta pengamal Falun Dafa di negara itu. Namun, sejak kekerasan dilakukan, jutaan orang ditahan di dalam penjara, kem buruh, dan tempat lain. Tidak hanya itu, ratusan ribu orang lain turut diseksa ketika dipenjarakan, menurut Pusat Maklumat Falun Dafa. Terdapat lebih dari 4,000 kematian yang didokumentasikan akibat penganiayaan, tetapi para pakar mengatakan bahawa angka kamatian sebenar adalah mungkin jauh lebih tinggi.

Huang mencadangkan bahawa warga asing juga boleh memiliki salinan Zhuan Falun – sebuah buku yang telah mengubah kehidupan begitu banyak orang  dan kini ia telah diterjemahkan ke lebih daripada 40 buah bahasa.

Persiapan untuk acara pada Sabtu itu dimulakan sejak tiga hari sebelumnya. Mereka yang terlibat dalam acara itu hadir ke Dataran Liberty untuk mengikat setiap tikar berwarna ke lantai secara manual. Mereka meletakkan tikar di tempat yang ditentukan di bawah pengawasan Wu Ching-hsiang, seorang pesara arkitek yang telah membuat pelan untuk imej tersebut.

Wu memberitahu The Epoch Times bahawa imej itu memakan ruang dengan panjang kira-kira 90 meter dan ketinggian 115 meter (sekitar 295 kaki x 380 kaki). Buku itu sendiri mempunyai ukuran 12 meter lebar dan 17 meter tinggi (sekitar 39 kaki x 55 kaki).

Salah satu peserta yang menyertai acara tersebut ialah Andres A., 39, dari Argentina, yang kini belajar bahasa Cina di National Taiwan Normal University di Taipei. Dia memberitahu The Epoch Times bahawa dia mula berlatih Falun Gong sejak tahun 2005. Hasil daripada latihan itu, dia sangat tertarik dengan budaya tradisional Cina dan hal itulah yang menyebabkan dia datang ke Taiwan.

“Dengan berada di Taiwan, saya memiliki kebebasan untuk menyertai kegiatan seperti ini,” katanya. Menurutnya lagi, ini menunjukkan kepada dunia mengenai perbezaan antara kehidupan di Taiwan yang sebuah masyarakat bebas, dibandingkan dengan kehidupan di bawah pemerintahan diktator di tanah besar China.

Seorang lagi peserta, Wan Yun-lin, 65, seorang instruktur permainan papan Go, memberitahu The Epoch Times bahawa dia mengambil bahagian dalam acara tersebut dengan harapan supaya akan ada lebih banyak orang dapat mengenali Falun Gong, yang telah diamalkan selama 22 tahun. Seperti pengamal lain, tahap kesihatannya dikatakan semakin tambah baik secara drastik sejak mengikuti amalan tersebut.


Pengamal Falun Gong mengambil bahagian dalam latihan di Taipei, Taiwan, pada 5 Disember 2020. (Pai Chuan / The Epoch Times)

Setelah aktiviti membentuk perkataan tamat, para peserta kemudian berdiri dalam barisan yang lurus untuk melakukan latihan meditasi Falun Gong.

Acara tersebut menarik perhatian ramai penduduk tempatan dan pelancong.

Marlous Harinck, pembangun perniagaan global dari Belanda yang kini bekerja di Taiwan, memberitahu The Epoch Times bahawa dia sangat kagum dengan apa yang dilihatnya.

“Apa yang saya lihat, tentu saja, sangat berwarna-warni. Ini adalah pernyataan yang kuat dilakukan oleh mereka. Dan saya menyukainya kerana ada banyak orang yang memperjuangkan perkara ini, dan ada yang berusaha supaya ianya dapat diterima dan menjadikan terkenal,” katanya.

Tambahnya lagi, “Ia adalah penting untuk seluruh dunia mengamalkan sikap keterbukaan dan bebas untuk memilih dan mempercayai apa sahaja ajaran yang mereka inginkan. Mereka memiliki kebebasan tersebut.” dia merujuk kepada penganiayaan di China.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular