Biasanya, apa yang akan anda lakukan sekiranya terlihat seseorang tertinggal dompet atau duitnya tercicir di tengah jalan?

Mungkin ada yang akan mengembalikannya kepada pemilik dan ada juga yang mengambil kesempatan dalam situasi berkenaan. Baru-baru ini, seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai tukang kutip sampah di Singapura menjadi bualan hangat warganet setelah tindakannya mengembalikan iPad milik seseorang menjadi tular.

Pada 2 Disember yang lalu, pengguna Twitter yang dikenali sebagai @EdaySam atau nama sebenarnya Muhammad Khidir Samsudin telah berkongsi beberapa gambar di laman sosial berkenaan dengan kapsyen, “1 Disember adalah hari yang baik untuk kita! Saya tinggalkan di sini sebagai kenangan. Saya adalah rakyat Malaysia!”.

Michelle Lim/Facebook

Di dalam tweet-nya itu, Eday telah memuat naik tangkapan layar (screenshot) perkongsian seorang wanita bernama Michelle Lim di akaun Facebook.

Michelle telah menceritakan pengalamannya tentang bagaimana dua orang anak muda dari Malaysia telah mengembalikan iPad miliknya yang hilang sekitar setahun yang lalu.

“Saya kehilangan iPad Pro lebih setahun yang lalu. Hari ini sekitar jam 7 malam, saya periksa emel dan mendapati terdapat satu emel masuk yang menyatakan ipad saya telah ditemui! Saya tidak menjangkakan perkara ini adalah benar. Kedua-dua lelaki yang baik ini bekerja di SembWaste (Senoko Depot). Eday menghubungi saya. Terkejut dan saya hampir menangis”.

@EdaySam_/Twitter

Tambah Michelle lagi, dia sangat berterima kasih kepada Eday dan juga rakannya, Yuamirul kerana sudi memulangkan semula iPad miliknya yang hilang ketika sedang bertugas mengutip sampah.

Menurut laporan, Eday yang baru berusia 25 tahun merupakan seorang graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sains kemajuan. Anak muda yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini mula bekerja di Singapura sejak tiga bulan yang lalu bagi meraih pendapatan sampingan.

Sementara itu, memetik laporan SAYS, Eday telah menceritakan secara terperinci mengenai kejadian penemuan iPad tersebut. Katanya, sewaktu sedang mengutip sampah, dia telah menemui iPad berkenaan beserta sebuah komputer riba yang telah rosak di dalam sebuah beg plastik. Pada ketika itu, Eday sedang bekerja bersama Yuamirul dan juga pemandu lori sampah yang dikenali sebagai Wan Hanafiah.

Michelle Lim/Facebook

“Ketika saya mengutip sampah di dalam tong sampah kitar semula yang berwarna biru itu, saya ternampak beg plastik dengan iPad dan komputer riba di dalamnya. IPad itu kelihatan masih dalam keadaan yang baik tetapi komputer riba itu sudah rosak. Jadi, saya mengambil keputusan untuk membawa iPad itu pulang dan melihat sama ada ia masih berfungsi atau tidak. Selepas tamat waktu bekerja, saya mengecas iPad itu dan mendapati ianya masih berfungsi”.

Jelas Eday lagi, iPad berkenaan tidak mempunyai kata laluan sekali gus membolehkannya melihat Apple ID pemilik iPad tersebut. Pada awalnya, Eday berpendapat pemilik iPad berkenaan berniat untuk membuang iPad tersebut kerana ingin menggunakan gajet yang baharu.

Eday kemudian bertindak menghantar emel kepada Michelle yang diperoleh menerusi Apple ID untuk memastikan sama ada iPad berkenaan memang ingin dibuang atau telah hilang.

Michelle yang membaca emel tersebut terus membalas dengan mengatakan bahawa iPad berkenaan telah hilang kira-kira setahun yang lepas. Mereka kemudian membuat keputusan untuk bertemu bagi memulangkan iPad milik Michelle itu.

Michelle Lim/Facebook

“Sebaik sahaja menerima pesanan mesej daripada Michelle, saya terus menghubunginya. Suaranya kedengaran teruja dan seperti hampir menangis. Ketika kami bertemu untuk memulangkan iPad itu, dia kelihatan sangat gembira. Saya tahu iPad itu memberi makna yang sangat mendalam padanya,” kata Eday yang kemudiannya menerima pelawaan Michelle untuk makan bersama sebagai tanda terima kasih.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular