Jika ditanya tentang subjek yang paling tidak digemari ketika zaman persekolahan, pasti matapelajaran Sejarah akan menjadi sebutan ramai. Hal ini kerana lambakan fakta dan pelbagai peristiwa sejarah perlu dihafal dan difahami pasti akan membuatkan kita menjadi cepat mengantuk.

Ramai yang akan mencuba pelbagai cara bagi memudahkan proses menghafal nota sejarah. Antaranya membuat nota ringkas dengan menggunakan pen pelbagai warna dan makan kismin bagi menguatkan daya ingatan. Namun, pelajar tingkatan lima dari SMK St. Francis ini mengambil pendekatan yang cukup berbeza iaitu dengan mengubah nota sejarah menjadi sebuah lagu rap!

Aaron Ming menerusi laman Instagramnya, ming_aa_ron telah memuat naik beberapa video yang menyaksikannya mengubah nota sejarah menjadi sebuah lagu rap yang ‘catchy’. Dalam video tersebut, Aaron telah memasukkan beberapa butiran penting daripada setiap bab subjek berkenaan sebelum memuat naik ke Instagram untuk dikongsikan kepada pelajar lain.

Ternyata, daya kreativiti Aaron menghasilkan lagu rap sejarah dengan iringan rentak yang moden membuatkannya kini menjadi seorang bintang sensasi di media sosial. Cara ini bukan sahaja membantu Aaron untuk menghafal nota sejarah tetapi turut membantu pelajar-pelajar lain.

Menurut Aaron, dia mula diperkenalkan dengan genre rap pada tahun lalu. Selepas itu, dia mula meminatinya dan sering menyanyikan lagu rap di dalam bilik. Tidak lama kemudian, Aaron tertarik untuk cuba menghasilkan lagu rap dengan memasukkan elemen nota sejarah mengikut bab-bab tertentu dan dia langsung tidak menyangka videonya akan menjadi tular.

Ramai memuji tahap kreativiti Aaron dan sentiasa mengikuti perkembangannya dalam menghasilkan lagu rap terbaharu untuk bab-bab yang lain. Malah, ada juga yang memuji usaha Aaron dalam menjadikan matapelajaran Sejarah sebagai satu subjek yang menarik.

Semoga Aaron akan terus dikurniakan ilham untuk menghasilkan lebih banyak lagu rap sekali gus membantu generasi muda dalam menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Aaron Lim???? (@ming_aa_ron_)

Maybe you're interested :

Share
Kategori: HIBURAN INSPIRASI VIDEO

Video Popular