Mesin basuh adalah antara peralatan elektronik yang penting yang perlu ada di setiap rumah. Hal ini adalah kerana mesin ini digunakan pada setiap minggu, malah ada juga yang menggunakannya pada setiap hari, untuk mencuci pakaian yang kotor dan telah dipakai agar tidak banyak tenaga manusia perlu dikeluarkan.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu bahawa mesin basuh juga sebenarnya perlu dicuci sekurang-kurangnya satu kali setahun supaya bahagian dalam mesin kekal bersih dan tidak mengotorkan pakaian yang akan dicuci.

Gambar hiasan/Unsplash

Kebiasaannya, mesin basuh yang tidak pernah dicuci akan menjadi kotor akibat habuk-habuk dan kotoran daripada pelbagai pakaian yang pernah dicuci dan kotoran ini seterusnya terperangkap di dalam mesin basuh yang seterusnya boleh menyebabkan cucian dalam mesin menjadi tidak bersih.

Untuk mencuci mesin basuh, bahan yang anda perlukan sebenarnya adalah sangat ringkas, iaitu cuka dan soda bikarbonat.

Kedua-dua bahan ini digunakan sebagai agen pencuci yang berkesan untuk menghakis kotoran di dalam mesin dan menghilangkan bau yang terkumpul di dalam mesin yang seterusnya membersihkan mesin basuh secara keseluruhannya.

Jadi, ayuh ketahui cara-cara untuk membersihkan mesih basuh!

Gambar | Periukapi

1. Tekan butang ON pada mesin basuh anda.

2. Pilih dan tekan program SOAK atau TUBE pada mesin basuh dan tekan butang START.

Jika mesin basuh anda tidak mempunyai butang program yang dinyatakan, anda boleh memilih program cucian yang paling lama dan menggunakan air hangat (jika ada).

3. Apabila mesin basuh sudah mula mengisi air di dalam tub sehingga hampir penuh, masukkan dua cawan cuka dan dua cawan soda bikarbonat yang mencukupi ke dalam tub dan biarkan mesin beroperasi sehingga selesai.

Pan TheOrganizer/YouTube

Bagi anda yang menggunakan mesin basuh jenis pintu di hadapan (front loading washing machine), anda boleh memasukkan dua agen pembersihan ini ke dalam tub mesin sebelum memilih program yang bersesuaian.

Selain daripada langkah pembersihan yang dinyatakan ini, anda juga boleh mencuba tips yang berikut untuk memastikan mesin basuh anda benar-benar terjaga kebersihannya:

1. Biarkan pintu mesin terbuka semasa mesin tidak beroperasi.

Tip ini adalah supaya kelembapan tidak dapat terkumpul di dalam mesin. Dengan pembukaan pintu dan udara yang dapat memasuki ruang tub mesin, segala kelembapan cenderung untuk tersejat ke dalam udara dan seterusnya meninggalkan ruang dalaman mesin basuh kekal kering sentiasa.

2. Cuci dulang agen pencuci secara berkala

Pan TheOrganizer/YouTube

Setiap mesin basuh lazimnya disertakan dengan dulang untuk meletakkan agen pencuci pakaian dan dulang ini selalunya tidak dibersihkan.

Oleh itu, anda boleh menggunakan berus gigi yang tidak lagi digunakan dan air panas bersabun untuk mencuci dulang agen pencuci ini secara berkala agar kotoran tidak terlekat di dalam dulang yang kecil ini.

3. Cuci getah pintu mesin basuh (lazimnya ada pada mesin basuh pintu hadapan)

Pan TheOrganizer/YouTube

Untuk kebersihan mesin basuh yang optimum, anda juga boleh membersihkan getah yang terdapat di sekeliling pintu mesin basuh hadapan yang cenderung untuk berkulat jika telah lama digunakan.

Justeru, dengan menggunakan berus gigi yang sudah tidak digunakan dan air panas bersabun, anda boleh memberus getah ini sehingga bersih.

4. Cuci penapis mesin basuh untuk sekali bagi setiap enam bulan

Pan TheOrganizer/YouTube

Bagi mesin basuh jenis pintu hadapan, penapis mesin basuh lazimnya disertakan di bahagian bawah mesin. Jadi, anda boleh mengeluarkan penapis ini dan cuci sehingga bersih sebelum meletakkannya semula di tempat asalnya. Lakukan cucian penapis ini untuk satu kali setiap enam bulan.

Berguna sungguh tips yang dikongsikan dalam entri ini. Jom cuba!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular