Semakin hari, kes penularan virus COVID-19 mencatatkan jumlah yang cukup membimbangkan. Hampir setiap hari negara mencatatkan empat angka bagi kes jangkitan baharu seluruh Malaysia dan peningkatan ini memberi gambaran kepada kita semua untuk sentiasa mematuhi SOP dan mengelakkan kawasan yang sesak.

Kita juga digalakkan untuk segera mendapatkan rawatan lanjut sekiranya simptom-simptom virus COVID-19 ini berlaku kepada diri anda. Namun begitu, tidak semua pesakit akan mengalami simptom yang sama. Meskipun kebanyakan pesakit yang positif virus COVID-19 akan mengalami demam dan batuk, ada juga segelintir daripadanya yang mengalami tanda-tanda ringan seperti sakit sendi, hilang deria bau dan rasa, cirit-birit dan sakit kepala.

Baru-baru ini, seorang lelaki yang dikenali sebagai Matthew D Cheung telah berkongsi pengalamannya kehilangan deria rasa dan bau menerusi laman sosial Twitter. Dalam video berkenaan, Matthew telah mencuba beberapa jenis makanan dan minuman bagi menunjukkan kepada warganet tentang bagaimana fungsi deria rasa dan bau seseorang pesakit yang dijangkiti virus COVID-19.

Antara makanan yang dicuba oleh Matthew adalah jus lemon, bawang mentah, cuka, sos cili dan juga minuman keras yang tinggi kandungan alkohol. Kesemua makanan dan minuman yang dicuba oleh Matthew pasti membuatkan kita berkerut dahi atau kecur air liur apabila membayangkan rasanya.

Namun begitu, Matthew tidak menunjukkan sebarang reaksi dan terus meminum seolah-olah dia sedang menikmati air kosong. Bagaimanapun, Matthew menjelaskan bahawa meskipun kesemua makanan dan minuman itu tidak memberikan sebarang rasa kepada lidahnya, namun perutnya masih tetap memberikan reaksi.

Penularan video ini turut mencetuskan pelbagai respon daripada pengguna Twitter yang rata-ratanya terkejut melihat reaksi Matthew yang merasa seperti meminum air kosong meskipun kesemua bahan yang ditelannya mempunyai rasa masam dan pedas. Sedangkan menghidu bau cuka sahaja sudah boleh menyebabkan hidung kita rasa ‘terbakar’ inikan pula meminumnya.

Berikut merupakan beberapa komen yang diberikan oleh warganet susulan video tersebut.

“Apabila orang kata hilang deria bau dan rasa, saya sangkakan ia seperti apabila kita sedang dijangkiti selesema”.

“Saya dijangkiti pada pertengahan September. Deria bau saya tidak lagi seperti dahulu. Tapi ia berguna ketika saya ingin membersihkan najis kucing saya”.

“Satu lagi sebab kenapa kita perlu memakai topeng pelitup hidung dan mulut serta duduk di rumah”.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular