Sebuah keluarga dari Southampton dikejutkan dengan kes ‘rompakan’ oleh Zico, kucing peliharaan mereka yang diselamatkan pada April lalu apabila kucing kesayangan keluarga itu tiba-tiba pulang ke rumah dengan sebungkus snek kucing di dalam mulutnya.

Menceritakan tentang insiden yang disedari pada Ahad, 30 November lalu, Lee Harvey, 42, bersama dua orang anak perempuannya pada waktu itu sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi di dapur sebelum Zico tiba-tiba muncul di pagar taman rumah mereka.

Yang lucunya, Lee dan keluarganya langsung tidak mempunyai maklumat tentang mana-mana jiran yang memelihara kucing, kecuali keluarga mereka. Jadi persoalannya, dari manakah Zico mendapat bekalan snek kucing itu?

Menerusi video yang dirakam oleh anak perempuan Lee, dapat didengari bahawa kedua-dua orang anaknya benar-benar terhibur dengan telatah Zico yang tidak semena-mena membawa pulang hasil ‘rompakannya’ itu ke rumah.

“Apa yang Zico dapat? Zico telah merompak snek kucing lain!” kata salah seorang anak perempuan Lee.

“Dari manakah snek ini datang?” ujar anaknya lagi dengan rasa tidak percaya.

Walaupun telah ‘disoal siasat’ oleh anak-anak perempuan Lee sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, Zico bagaimanapun tidak mengendahkan mereka dan terus pergi meletakkan snek yang dicurinya dengan rasa bangga.

Paling lucu, keesokan harinya, Zico turut pulang ke rumah dengan snek kucing hasil ‘rompakannya’ lagi!

“Kami masih tidak tahu dari mana snek kucing ini datang tetapi Zico benar-benar gembira kerana mendapat snek setiap kali Zico mahukannya,” kata Lee kepada Dailymail.

“Jiran terdekat kami tidak memelihara kucing jadi kami masih tidak tahu dari manakah Zico mendapatkannya.”

“Yang memburukkan lagi keadaan, Zico membawa lagi satu pek snek kucing pada keesokan harinya. Snek itu bukan kepunyaan kami kerana kami menyimpannya di dalam tin supaya kucing-kucing kami tidak boleh mengambilnya,” tambah Lee.

Nampaknya, Zico mempunyai idea yang sangat bijak untuk mendapatkan snek pada setiap waktu yang diinginkan. Luar biasa betul!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular