Tauhu adalah salah satu bahan masakan yang berkhasiat dan digemari ramai. Walaupun tidak mempunyai rasa yang benar-benar kuat, namun tekstur tauhu yang lembut semestinya dapat melengkapkan lagi hidangan.
Bagaimanapun, ramai yang masih belum tahu bahawa resipi penghasilan tauhu sebenarnya adalah sangat mudah. Malah, bahan yang diperlukan juga adalah sangat minimal. Dengan tiga bahan sahaja, anda sudah boleh menghasilkan tauhu yang benar-benar terjamin kebersihannya!
Berdasarkan perkongsian resipi oleh Puan Ida Alina Salleh di laman Facebook, kini kita boleh menghasilkan tauhu sendiri di rumah dengan kebersihan yang terjamin!
Jom ketahui resipinya!
Bahan-bahan yang diperlukan:
1. 500 gram kacang soya (rendam semalaman)
2. 2.5 liter air
3. 3 biji lemon (diperah jusnya)
Cara-cara penyediaan:
1. Rendamkan kacang soya semalaman.
2. Kisarkan kacang soya sehingga halus dan berkrim.
3. Tapiskan kacang soya yang sudah dikisar halus dan ambil air susu soyanya sahaja.
4. Perahkan hampas soya menggunakan kain untuk mendapatkan lebihan susu soya.
5. Masakkan susu soya di atas api sehingga berasap dan mula hendak mendidih. Buangkan buih-buih yang timbul di permukaan air rebusan.
6. Apabila susu soya sudah mendidih, kecilkan api dan masukkan jus lemon yang diperah. Kemudian terus matikan api dan kacaukan susu soya berkenaan. (Pada waktu ini, susu soya akan mula mengental. Jika selepas jus lemon dimasukkan tetapi susu soya tidak mengental, didihkan semula susu soya dan tambahkan sedikit lagi jus lemon)
7. Tutup periuk dan biarkan antara 10 hingga 15 minit.
8. Selepas direhatkan, susu soya akan terbahagi kepada ketulan soya dan air jernih. Gunakan senduk yang berlubang untuk mengasingkan ketulan soya ke dalam bekas yang telah dialas dengan kain bersih.
9. Lipatkan kain disekeliling tauhu dengan ketat.
10. Masukkan adunan tauhu ke dalam bekas yang sesuai dan hempapkan penutup dengan objek berat seperti lesung batu selama lebih kurang 20 minit.
Siap sudah tauhu yang dihasilkan sendiri di rumah. Mudah sungguh!
Selamat mencuba!
Maybe you're interested :