Seorang graduan sebuah kolej di Bangkok, Thailand difahamkan berhenti bekerja, lantas berniaga nasi ayam di luar kawasan rumahnya.

Keputusan ini dibuat susulan gaji yang diterimanya agak sedikit dan tidak mencukupi untuk meneruskan kehidupan di bandar tersebut.

Menurut sumber, kisah pelajar itu didedahkan oleh ibunya di laman Facebook, di mana si ibu mahu menunjukkan sokongannya terhadap usaha anaknya.

Di samping itu, ibu tersebut juga mahu mempromosikan jualan nasi ayam yang dijual anaknya di dalam media sosial.

Kai Jeaw

Jelas ibu terbabit, anaknya baru sahaja bergraduasi dalam bidang komunikasi perniagaan pada tahun ini dan telah mendapat pekerjaan ketika pandemik COVID-19 bermula.

Namun demikian, setelah beberapa bulan, dia melihat anaknya itu semakin tidak gembira dengan kerjanya ekoran tidak menerima kadar upah yang sepatutnya.

Malah kos pengangkutan ke tempat kerja juga banyak dibelanjakan, iaitu THB200 (RM26) selain tempoh itu juga memenatkan anaknya.

“Gaji purata untuk graduan bidang itu lazimnya sekitar THB13,000 (RM1,745) sebulan namun dia hanya mendapat THB10,000 (RM1,342) sahaja sebulan”, tulis ibu itu.

Kadar upah sedemikian merupakan jumlah yang mampu dibayar oleh majikan anaknya berikutan keadaan ekonomi yang buruk pada tahun ini.

Kai Jeaw

“Saya menyokong keputusan anak saya terutamanya apabila saya melihatnya pulang ke rumah setiap hari dalam keadaan yang tidak ceria dan tidak banyak bercakap”.

Selepas berbincang dengan anaknya, ibu tersebut menyarankan agar anaknya membantunya membuka gerai di hadapan rumah mereka untuk menjual makanan.

Mereka berdua akan ke pasaraya untuk membeli bahan masakan. Kemudian, ibu tersebut akan memasak hidangan nasi ayam, sementara anaknya mengendalikan gerai.

“Pada hari pertama, dia hanya mampu menjual satu bungkus sahaja. Saya harap semua dapat datang, berikan galakan dan menyokong anak saya”.

Usaha kedua-dua beranak itu kemudiannya mendapat pujian dan sangat dikagumi oleh netizen berikutan sokongan seorang ibu kepada anaknya.

Dalam satu kemas kini di Facebook ibu tersebut pada 29 November mendedahkan bahawa mereka kini masih lagi menjalankan perniagaan itu di luar kawasan rumah mereka.

Diharapkan agar perniagaan mereka laris dan sama-sama kita doa agar pandemik ini segera berakhir.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL INSPIRASI

Video Popular