Zoo Negara meminta bantuan kerajaan untuk memberikan kadar bayaran elektrik yang lebih rendah dalam menguruskan kos pengendalian panda.

Jelas Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana, pihaknya terpaksa menanggung bayaran sekitar RM10,000 hingga RM20,000 sebulan untuk kos elektrik susulan panda memerlukan kemudahan penghawa dingin pada setiap masa.

“Kita tiada masalah untuk menjaga panda pada asasnya cuma penggunaan penghawa dingin setiap masa menyebabkan bil elektrik mencecah ribuan ringgit sebulan”.

Tambah beliau, jika pihak kerajaan boleh membantu, pihaknya meminta kadar kiraan penggunaan elektrik yang lebih murah dibuat iaitu berdasarkan kiraan domestik, bukannya komersial.

“(Kiraan) komersial ini dua kali ganda kadar bayarannya”, kata beliau lagi. Zoo Negara sebelum ini dilaporkan menghadapi krisis kewangan yang kritikal.

Ia berlaku susulan terjadinya gelombang ketiga pandemik COVID-19 sehingga membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, tabung kecemasan Zoo Negara pula difahamkan hanya mampu bertahan lebih kurang tiga bulan sahaja lagi.

Selain kos elektrik yang tinggi, pihak Zoo Negara juga turut membelanjakan ribuan ringgit dalam menyediakan makanan panda iaitu buluh yang terpilih sahaja.

Namun demikian, pihaknya tidak berdepan dengan masalah untuk mendapatkan bekalan buluh daripada kebun bagi memenuhi keperluan panda yang dijaga.

“Walaupun berdepan kos tinggi elektrik, namun keadaan masih terkawal lagi untuk kita meneruskan penjagaan panda ini”, ujarnya.

Dan sebagai penjaga panda, pihak Zoo Negara bertanggungjawab untuk menanggung semua kos penjagaan haiwan itu.

Pihak Zoo Negara difahamkan menjaga tiga ekor panda termasuk seekor anak panda yang diperolehi dari China sejak tahun 2014.

Jelas Rosly, pihaknya juga mempunyai cadangan untuk membuka operasi zoo secara maya pada masa hadapan sebagai satu alternatif dalam mengharungi pandemik.

Perbincangan mengenainya akan dijalankan bersama pihak teknologi maklumat berkait dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pada setiap ‘rumah’ haiwan.

“Kita memang dalam proses merancang untuk membuka operasi zoo ini secara maya namun ia mengambil sedikit masa kerana membabitkan kos hingga jutaan ringgit”.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular