Mungkin ramai yang masih tidak pernah mendengar tentang kisah seekor gajah yang dikatakan gajah paling sepi di dunia. Ya, gajah yang diberikan dengan gelaran seperti itu sebenarnya memang wujud dan namanya adalah Kaavan.

Berdekad lamanya Kaavan ditugaskan untuk menghiburkan pengunjung zoo di Islamabad, Pakistan. Kaavan sering dikasari oleh pengunjung zoo, tidak termasuk lagi dia juga dilayan dengan teruk oleh orang yang menjaga dan melatihnya. Tanpa mempedulikan apa yang dirasakan oleh Kaavan, dia terus dikasari untuk mendapatkan wang bagi pihak zoo.

@cher/Twitter

Kaavan juga mengalami banyak kecederaan di badannya ekoran dicucuk. Bertahun berlalu, tiada siapa yang kisah dengan kesihatan dan kebajikan Kaavan. Luka-luka pada tubuhnya mula dijangkiti kuman dan rantai yang terikat pada kakinya mula meninggalkan kesan dan parut kekal. Kaavan mula mengalami obesiti dan menghadapi sindrom psikosis.

@SmithsonianChan/Twitter

Namun begitu, penderitaan dan kesunyian Kaavan bakal berakhir tidak lama lagi apabila dia bakal meninggalkan ‘dunia gelap’ di kandangnya dan berpindah ke tempat baru.

Dengan pertolongan dan bantuan sukarela seorang ikon pop Amerika, Cher, Kaavan dikatakan akan diterbangkan ke Kemboja untuk menjalani sebuah lagi kembara dan perjalanan hidup yang baru.

Mengetahui kisah sejarah Kaavan pasti akan buatkan banyak hati yang bakal tersentuh. Kisah Kaavan bukan kisah manis, jauh sekali kisah yang mengembirakan buatnya. Kisah Kaavan adalah kisah penuh duka dan tragis…

Dari Sri Lanka ke Pakistan

Seawal usianya baru setahun Kaavan sudah diserahkan kepada Pakistan oleh kerajaan Sri Lanka sebagai tanda hubungan diplomasi serta untuk menjayakan sebuah filem Bollywood.

Kaavan kemudian dipindahkan ke Zoo Marghuzar yang mana terkenal dengan pelbagai masalah sejak dibuka. Pihak berkuasa dikatakan tidak peduli dengan apa yang jadi di situ, atau apa yang terjadi kepada binatang-binatang di situ. Apa yang penting ialah mereka mendapatkan keuntungan.

Paparan Skrin/YouTube

Pada tahun 2019, kumpulan sukarelawan Friends of Islamabad Zoo (FIZ) mula mengadakan tinjauan berkala di zoo tersebut dan mereka mendapati bahawa jumlah haiwan di situ berubah-ubah.

Selain itu, tidak ada kemudahan veterinar atau bekalan ubat disediakan di zoo itu. Tiada juga fasiliti kesihatan haiwan atau ruang operasi disediakan. Ruang untuk mengasingkan haiwan yang sakit juga tidak disediakan.

Kematian kawan baik

Pada mulanya hari-hari yang dilalui Kaavan tidaklah begitu sunyi jika dibandingkan dengan dia pada hari ini kerana ketika itu dia mempunyai kawan-kawan yang selalu ada dengannya dan menemaninya. Bertahun-tahun Kaavan ditemani oleh Saheli, seekor gajah betina yang dibawa masuk dari Bangladesh pada awal 1990-an.

Paparan Skrin/YouTube

Namun begitu, pada tahun 2012 Saheli didapati mati. Laporan mengatakan Saheli mati kerana serangan jantung akibat cuaca yang sangat panas tetapi seorang sukarelawan FIZ, Mohammad bin Naveed, menafikan laporan tersebut dan mendakwa Saheli mati akibat sepsis.

Selepas kematian Saheli, keadaan Kaavan semakin memburuk. Keadaan fizikalnya juga semakin merosot. Terdapat konjungtivitis pada mata kirinya serta kecederaan lain seperti kukunya yang patah akibat rantai yang diikat pada kakinya.

Kaavan juga mengalami berat badan berlebihan akibat diberikan makanan bergula tinggi oleh penjaganya. Walaupun tahu keadaan Kaavan yang tidak sihat, tiada siapa yang peduli kerana mereka tidak mahu kehilangan sumber pendapatan zoo.

Kaavan akhirnya bebas…

Cher mula mengatahui tentang kisah Kaavan pada tahun 2016. Artis Hollywood yang juga merupakan pengasas sebuah badan amal perlindungan haiwan kemudian telah menubuhkan pasukan undang-undangnya untuk membebaskan Kaavan dari zoo di Pakistan itu.

Walaupun bukan mudah untuk membebaskan Kaavan, tetapi gajah itu akhirnya dibebaskan juga dan perkara itu disahkan sendiri oleh Mahkamah Tinggi Pakistan. Saat manis tersebut telah dikongsikan oleh Cher di laman Twitter miliknya pada bulan Mei lalu.

Walau bagaimanapun perjuangan untuk membebaskan Kaavan dan haiwan lain di zoo itu ternyata belum selesai. Kes tersebut diberikan kepada pelbagai jabatan sebelum berakhir di Mahkamah Tinggi Islamabad. Pada Jun lalu arahan untuk menutup terus zoo telah dikeluarkan.

Paparan Skrin/YouTube

Kaavan dijangka akan diterbangkan ke Kemboja dan ditempatkan di pusat perlindungan Kulen-Promtep, sebuah tempat perlindungan haiwan yang diancam kepupusan. Di sana Kaavan akan dijaga oleh pekerja dan para sukarelawan dengan baik.

Walaupun Kaavan masih mempunyai masalah fizikal dan perlu membiasakan diri dengan persekitaran baru di sana tetapi setidaknya di sana Kaavan akan dilayan sebagai seekor gajah sepertimana selayaknya dia dilayan selama ini. Dia juga akan memiliki tempat tinggal yang boleh dipanggil ‘rumah’.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular