Pihak Google mengalihkan ‘minimum’ enam juta undian ketika pilihan raya Presiden di Amerika Syarikat (AS) pada 3 November lalu, dengan menekankan agenda politiknya kepada pengguna, mendakwa seorang ahli psikologi penyelidikan.

Dalam satu wawancara bersama Fox News, ‘Tucker Carlson Tonight’, Dr Robert Epstein selaku pakar psikologi di American Institute for Behavioral Research and Technology di California menyatakan bahawa manipulasi carian syarikat gergasi teknologi tersebut mendorong jutaan rakyat AS mengalihkan undian mereka kepada Demokrat.

“Hasil carian Google sangat berat sebelah pada golongan liberal dan Demokrat. Ianya tidak sahih pada Bing atau Yahoo”, kata Epstein, merujuk pada pasukan yang dikumpulkannya untuk memantau kegiatan syarikat teknologi besar menjelang pilihan raya 2020.

Dr. Robert Epstein, pakar psikologi di American Institute for Behavioral Research and Technology dan bekas ketua pengarang Psychology Today/NTD

Pasukan projek itu merekrut ‘kumpulan yang pelbagai terdiri daripada 733 pemilih berdaftar, Republikan, Demokrat dan Bebas’ dari Arizona, Florida dan North Carolina, di mana mereka dilengkapi dengan perisian khas yang mengesan aktiviti mereka di internet – carian di Google, Bing dan Yahoo.

“Berat sebelah itu ditunjukkan pada hampir setiap kumpulan demografi yang kita lihat, termasuk konservatif. Konservatif mendapat lebih banyak ‘bias’ dalam hasil pencarian mereka daripada yang dilakukan oleh golongan liberal. Bagaimana anda menjelaskannya?”, Epstein berkata.

Bulan ini, Epstein memberitahu The Epoch Times bahawa perisian tersebut memberi kemampuan kepada pasukan projek untuk melihat (dengan izin agen) semua aktiviti berkaitan dengan pilihan raya di internet yang dilakukan oleh agen lapangan, di mana ia membolehkan pasukan itu mengetahui kandungan sementara seperti hasil carian, peringatan, cadangan carian dan ‘feed’ berita.

“Kami juga menjumpai ‘smoking gun’ – bukti yang tidak dapat disangkal. Kami menjumpai tempoh (beberapa hari) di mana terdapat peringatan undian pada laman Google telah dihantar hanya kepada golongan liberal. Tiada seorang pun agen kami (konservatif) menerima peringatan undian pada masa itu”.

Beliau menambah bahawa ketika beliau memaklumkan penyelidikannya itu pada 29 Oktober lalu, Google kemudiannya berundur.

Pejabat Google di bandar Manhattan pada 20 Oktober 2020. Syarikat itu dituduh menggunakan taktik yang tidak kompetetif untuk memonopoli pasaran iklan carian dan carian dalam talian. Jabatan Kehakiman dan 11 negeri telah mengemukakan kes anti-monopoli terhadap Google. (Spencer Platt/Getty Images)

“Mereka benar-benar menghentikan manipulasi pada malam itu, dan selama empat hari sebelum pilihan raya mereka akhirnya menunjukkan peringatan undian kepada semua orang”, tambahnya.

“Apa yang penting tentang manipulasi ini, undian yang telah dikira pada ketika ini secara mudah dapat dialihkan – sekurang-kurangnya 6 juta undian. Itu tahap minimumnya pada saat ini, saya yakin. Tahap maksimumnya masih belum dianggarkan kerana terdapat banyak data untuk diperhalusi”.

Dalam menerangkan penemuannya pada Epoch Times mengenai program ‘American Thought Leaders’, Epstein mengatakan bahawa laman utama Google dilihat di AS sebanyak 500 juta kali sehari.

“Sekiranya peringatan sebegitu digunakan secara sistematik dalam jangka waktu tertentu, itu lebih mempengaruhi individu yang mengundi semasa pilihan raya — ia mempengaruhi siapa yang mengirim kertas undian melalui surat dan juga individu yang mendaftar untuk mengundi”, katanya.

Google merupakan syarikat internet terbesar di dunia dengan kira-kira 100,000 pekerja dan meraih lebih $130 bilion pendapatan tahunan, telah lama didakwa dengan tuduhan menyalurkan politik tenaga kerjanya yang paling kiri ke dalam produknya.

Namun dakwaan itu berulang kali dinafikan oleh syarikat itu. Google juga tidak segera memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen oleh The Epoch Times.

Menjawab penyelidikan Epstein, Senator Ron Johnson (Wis.), Ted Cruz (Texas) dan Mike Lee (Utah) mengirimkan surat pada 5 November kepada Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai yang meminta penjelasan terhadap Jawatankuasa Dewan Kehakiman dan tanggapannya terhadap siasatan bertulis senator daripada bulan Ogos.

Cruz menuduh syarikat teknologi besar menyajikan ‘ancaman serius’ terhadap kebebasan bersuara di AS dan integriti pilihan raya.

“Google mempunyai lebih banyak kuasa daripada mana-mana syarikat di muka bumi ini dan penemuan Dr. Epstein menimbulkan kebimbangan serius mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Google dan kesediaannya untuk memanipulasi platformnya untuk membantu Joe Biden memenangkan jawatan presiden”.

“Google mesti memberikan jawapan mengapa dan bagaimana ia memanipulasi pengguna untuk mempengaruhi pilihan raya ini”, katanya dalam satu kenyataan.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular