Bagi sesetengah orang haiwan peliharaan mereka adalah segala-galanya buat mereka. Apa sahaja yang mereka lakukan mereka akan pastikan haiwan kesayangan mereka akan mendapatkan yang terbaik. Kasih sayang dan perhatian yang diberikan juga tiada batasannya.
Namun, apa yang menyedihkan ada antara pemilik haiwan yang menyayangi haiwan mereka buat seketika sahaja. Apabila tiba masanya mereka tergamak untuk membuang haiwan mereka begitu sahaja. Tanpa memikirkan perasaan haiwan mereka, dengan mudah mereka menyingkirkan haiwan mereka.
Percaya atau tidak memang ada orang yang seperti itu, yang meninggalkan haiwan mereka di tepi jalan begitu sahaja. Itulah yang disaksikan oleh pasangan suami isteri Springfield, Missouri, AS, Glenn dan Beverly Blake, apabila mereka melihat sendiri adegan seekor anjing ditinggalkan oleh tuannya di tepi jalan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di rumah. Selepas menyaksikan rakaman video tersebut mereka terus menghubungi pihak polis.
Melalui rakaman tersebut mereka dapat melihat bagaimana seorang wanita yang memandu SUV berwarna putih memarkir keretanya di jalan yang terpencil sebelum dia mengeluarkan anjing itu dari kereta. Wanita itu kemudian meninggalkan anjingnya di tepi jalan yang sunyi, tanpa memikirkan apa yang akan terjadi padanya.
Pasangan itu kemudiannya menyiarkan rakaman video tersebut di media sosial dan meminta pertolongan daripada orang ramai untuk mengenal pasti pemilik haiwan itu.
Pada mulanya, anjing itu mungkin menyangka bahawa tuannya mahu mengajaknya berjalan-jalan menaiki kereta. Tanpa dia ketahui tuannya mahu meninggalkannya di jalan yang sunyi itu sendirian.
Dalam video tersebut, orang ramai boleh melihat sendiri bagaimana wanita itu berhenti di sebuah jalan yang sunyi, iaitu jalan yang jarang dilalui oleh orang ramai. Wanita itu sebenarnya tidak mahu ada yang menyaksikan apa yang dilakukan terhadap anjingnya sendiri.
Pada mulanya anjing itu mengibas-ngibaskan ekornya dengan gembira kerana menyangka bahawa dia akan diajak berjalan-jalan dengan tuannya. Namun begitu, sebaliknya pula yang berlaku. Tidak lama selepas itu, tuannya dengan tergesa-gesa memasuki SUV dan pergi meninggalkanya di situ.
Anjing itu berjalan-jalan, mencium rumput, dan tiba-tiba barulah dia sedar bahawa dia sebenarnya telah ditinggalkan. Menyedari bahawa dia telah ditinggalkan, anjing itu dengan panik cuba berlari untuk mengejar kereta tuannya.
Walaupun tidak dapat mengejar tuannya, nasib anjing ini masih baik apabila pihak polis berjaya menyelamatkannya sebelum dia diserahkan kepada sebuah organisasi penyelamat di Springfield yang dipanggil Rescue One.
Mereka kemudian mendapati bahawa nama anjing tersebut ialah adalah Honey dan pemiliknya adalah seorang wanita berusia 26 tahun bernama Ashley Nicole Devine.
Honey kemudian menerima rawatan kerana dia mengalami dehidrasi dan kakinya juga luka teruk kerana terpaksa berjalan di jalan tar yang panas. Jika dilihat pada kecederaannya, Honey dikatakan telah berlari jauh untuk mengejar tuannya.
Di Rescue One, mereka menukar namanya menjadi Hope. Si comel itu kemudian diberikan kepada sebuah keluarga angkat yang sangat penyayang. Tidak hanya itu dia juga mempunyai ‘adik-beradik’ angkat yang lain di rumah itu.
Bekas pemiliknya, Ashley Nicole Devine, pula telah ditangkap dan didakwa atas tuduhan pengabaian haiwan kerana di Missouri, adalah salah dan haram untuk meninggalkan haiwan peliharaan.
Maybe you're interested :
- Dakwa Parti Komunis China secara paksa ambil organ komuniti Uighur, aktivis desak siasatan dilakukan
- Caltex Bachang ambil seorang gelandangan bekerja, dapatkan bilik sewa sambil mohon sumbangan sementara untuk membantunya membayar sewa
- “Tidak semua orang duduk di rumah mewah,” Pemuda ini dedah mengapa ramai yang tidak bersetuju PKP 2.0 dilaksana