KOTA KINABALU – Anak perempuan kepada seorang lelaki warga asing yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Sabah, mengesahkan bapanya berusia 130 tahun seperti dilaporkan media pada 28 November.

Usia mangsa, Talib Omar yang begitu lanjut menimbulkan persoalan orang ramai sama ada berlaku kesilapan dalam laporan terbabit.

@KKMPutrajaya/Twitter

Malah berdasarkan Guinness World Records, individu tertua direkodkan pernah hidup ialah Jeanne Louise Calment yang meninggal dunia ketika berusia 122 tahun 165 hari pada tahun 1997.

“Ya. Beliau berusia 130 tahun berdasarkan dokumen yang dimiliki. Bapa masih sihat dan sempat menziarahi saya di Kota Kinabalu pada Hari Raya lalu,” kata Kimri Talib kepada New Straits Times.

“Namun, bapa bukan meninggal dunia semalam seperti yang dilaporkan, sebaliknya pada 3 November lalu ketika saya melawat beliau di Taman Telipok Ria, di sini,” tambahnya.

Kimri yang juga anak ketiga daripada lima beradik, memaklumkan bahawa Talib menetap bersama saudara lain kerana beliau bekerja di ibu negeri.

Beliau berkata, bapanya tiada menunjukkan sebarang gejala berkaitan COVID-19 sebelum itu.

Kimri berkata, pada hari Talib meninggal dunia, beliau terdahulu membantu bapanya untuk duduk dan minum susu.

Tidak lama selepas itu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika sedang duduk. Keluarganya melaporkan kematian itu kepada polis.

“Selepas keputusan ujian diperolehi, barulah kami mendapat tahu bahawa bapa dijangkiti COVID-19,” kata Kimri.

Taman Telipok Ria yang dihuni kira-kira 18,000 penduduk kini berada bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular