HANOI – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah kata pepatah yang sesuai buat seorang remaja apabila dia dinobatkan sebagai ratu cantik negaranya.
Si jelita yang bernama Do Thi Ha, 19 dikhabarkan telah dinobatkan sebagai Miss Vietnam 2020 selepas menewaskan 34 orang finalis lain dalam pertandingan ratu cantik itu.
Menurut Tuoi Tre News, Ha dilahirkan di Wilayah Thanh Hoa dan kini menuntut di Universiti Ekonomi Nasional (NEU) yang berprestij di Hanoi.
Selain memiliki rupa paras yang menawan, pemenang pertandingan ratu cantik itu dikatakan mempunyai ketinggian setinggi 175cm.
Menurut Dantri International News, Ha membawa pulang hadiah wang tunai VND350 juta (RM61,950), sementara naib juara, Pham Ngoc Phuong Anh dan naib juara, Nguyen Le Ngoc Thao masing-masing memenangi VND250 juta (RM44,250) dan VND200 juta (RM35,400).
Ha yang berasal dari keluarga petani dan pekerja harian dikatakan menggunakan wangnya sendiri untuk menampung kos yang diperlukan dalam pertandingan ratu cantik itu.
Selain memenangi gelaran terbesar malam itu, Ha juga memenangi sejumlah hadiah lain, termasuk anugerah Media Beauty, Fashion Beauty, dan Sea Beauty.
Pada peringkat akhir, 35 peserta mengenakan pakaian tradisional Vietnam, áo dài, selain turut menggayakan pakaian renang, gaun malam serta menjalani sesi soal jawab.
Xinhuanet pula melaporkan bahawa pertandingan ratu cantik, Miss Vietnam hanya diadakan dua tahun sekali.
Dianjurkan oleh surat khabar harian Vietnam Tien Phong sejak tahun 1988, pertandingan ini bertujuan untuk meraikan keindahan, pengetahuan, dan kebaikan.
Setelah 32 tahun dengan 16 edisi, Miss Vietnam dianggap sebagai pertandingan kecantikan kebangsaan yang paling berprestij.
Maybe you're interested :