KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu pendedahannya kepada Harian Metro memaklumkan bahawa pihak SPRM telah membongkar kegiatan jenayah ‘menyedut’ kredit prabayar milik pengguna telefon bimbit oleh hampir 100 syarikat penyedia kandungan.

Berdasarkan siasatan yang dilaksanakan secara sulit sejak Mac tahun ini, dianggarkan jenayah ini telah mengaut sebanyak hampir RM100 juta keuntungan sejak 10 tahun lalu.

Gambar hiasan/Unsplash

Difahamkan, syarikat penyedia kandungan ini dengan aktif telah mengambil wang milik pengguna talian prabayar dengan melakukan kegiatan membeli data peribadi pengguna dengan menyogok kakitangan syarikat telekomunikasi (telco) tempatan.

Selain itu, sumber turut mendedahkan bahawa syarikat ini akan menghantar pelbagai kandungan mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit pelanggan talian prabayar sebelum mangsa dikenakan caj antara 50 sen hingga RM5 bagi setiap penghantaran spam.

“Berdasarkan maklumat sulit diperoleh ini, syarikat penyedia kandungan akan menghantar mesej pelbagai kandungan SMS ke telefon bimbit pelanggan talian prabayar ini.

“Terdapat caj tersembunyi pada setiap mesej dihantar. Kredit prabayar akan ditolak sehingga RM5 ringgit bagi setiap ring tone (nada bunyi), wallpaper dan permainan interaktif dihantar kepada pelanggan ini. Terdapat juga situasi pelanggan dikenakan caj tanpa menerima apa-apa kandungan,” kata sumber kepada Harian Metro.

Gambar hiasan/Unsplash

Menurut hasil siasatan yang dilaksanakan, pihak SPRM juga mendapati bahawa kegiatan penjualan data pelanggan turut sama ‘dibantu’ oleh kakitangan pakar teknikal dan ‘orang penting’ syarikat telco.

“Antara jawatan yang dikenal pasti menerima rasuah ini adalah pengurus proses pembayaran, bajet koordinator, penyedia kandungan eksklusif, penyedia tadbir urus, pengurus produk dan ketua projek dan pelbagai jawatan penting lain.

“Berdasarkan siasatan, mereka ini bersekongkol dengan syarikat penyedia kandungan yang memberikan rasuah bagi mendapatkan data sulit pelanggan telco,” katanya.

Tambah sumber lagi, syarikat penyedia kandungan yang terlibat ini adalah syarikat berasingan yang dikesan membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ tertentu di syarikat telco dengan bayaran antara RM100,000 hingga RM200,000 seorang.

“SPRM percaya jumlah keseluruhan rasuah yang sudah diberikan kepada kakitangan telco mencecah puluhan juta ringgit sejak kegiatan ini bermula hampir 10 tahun lalu.

“Setakat ini lima telco sudah disiasat dan siasatan menyeluruh akan dilakukan terhadap lebih banyak syarikat komunikasi yang diyakini bersekongkol dengan syarikat penyedia kandungan ini,” jelasnya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular