‘Lobster’ atau udang karang merupakan sejenis hidupan laut yang memiliki harga tinggi di pasaran sehingga mencecah ratusan ringgit seekor.

Meskipun ramai yang sukakan rasa dan keenakan isi udang karang, tidak ramai yang tahu bahawa cengkerangnya juga boleh diubah menjadi bioplastik yang boleh dikitar semula!

Science Insider/Facebook

Idea untuk mengubah kulit udang karang menjadi bahan plastik biodegradasi ini datangnya daripada empat pereka dari Kolej Imperial. Ed Jones, Insiya Jafferjee, Amir Afshar dan juga Andrew Edwards telah menghasilkan projek yang dikenali sebagai Shellworks dengan mengubah cengkerang hidupan laut menjadi bahan plastik yang mesra alam.

Science Insider/Facebook

Penghasilan bahan plastik ini memerlukan campuran cuka dan juga sejenis biopolimer yang disebut sebagai chitin. Chitin adalah bahan berserat yang membentuk cengkerang hidupan laut dan juga dinding sel kulat. Chitin perlu diekstrak daripada sumber semulajadinya secara kimia sebelum ia boleh digunakan untuk perkara lain. Sementara itu, terdapat juga pilihan lain iaitu chitosan yang merujuk kepada chitin versi komersial.

Namun, chitosan memakan kos yang tinggi selain mengambil masa yang lama bagi proses pengekstrakan. Hal ini menyebabkan keempat-empat pereka ini mengambil keputusan untuk menghasilkan plastik dengan kaedah yang tersendiri.

Science Insider/Facebook

“Kami menghabiskan masa selama berminggu-minggu untuk cuba mengekstrak segenggam chitosan. Akhirnya, kami sedar apa yang kami perlukan adalah alat kelengkapan yang tepat untuk tugas ini”.

Lantaran itu, mereka mula membina empat buah mesin khas yang dikenali sebagai Shelly, Sheety, Vaccy dan juga Dippy. Mesin khas ini berfungsi dalam proses transformasi kulit udang karang sehinggalah ia menjadi produk akhir yang pelbagai. Untuk mesin yang pertama iaitu Shelly, mesin pengekstrak ini berupaya mengasingkan kandungan chitin daripada cengkerang udang karang yang telah dikisar.

Science Insider/Facebook

Sheety pula menggunakan haba dan angin untuk menghasilkan bioplastik seperti dalam bentuk helaian kertas. Helaian-helaian ini kemudiannya akan digam bersama bagi menghasilkan pelbagai produk seperti beg plastik dan juga dompet.

Science Insider/Facebook

Sementara itu, Vaccy adalah sejenis mesin vakum yang mengubah helaian bioplastik kepada bentuk-bentuk yang spesifik. Anda hanya perlu meletakkan sebarang produk ke dalam mesin vakum ini dan ia akan mengubah bioplastik tersebut mengikut bentuk produk asal.

Science Insider/Facebook

Mesin Dippy pula mempunyai acuan logam yang akan dicelup ke dalam bahan cecair dan dibiarkan mengeras. Hasilnya, anda boleh dapatkan bioplastik dalam bentuk cawan mahupun bekas makanan. Cawan ini juga boleh dijadikan sebagai bekas alat tulis atau pasu untuk tanaman yang akan melarut ke dalam tanah dan menjadi baja.

Science Insider/Facebook

Secara kesimpulannya, produk inovasi yang dicipta oleh sekumpulan anak muda ini memiliki kebaikan dan keburukannya. Meskipun ianya mesra alam, namun produk ini tidak memiliki daya ketahanan yang tinggi.

Justeru, mereka berharap agar dapat bereksperimen bagi menghasilkan produk bioplastik yang kalis air dengan mencampurkan lapisan lilin semulajadi.

Ikuti proses mengubah cangkerang kepada bioplastik di bawah:

Science Insider/Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular