Alam ini terlalu luas untuk diterokai. Bukan hanya di bumi malah di angkasa lepas, pelbagai objek wujud sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya dan misteri buat kita.

Mungkin masih ramai antara kita yang masih kurang faham dengan konsep objek di sistem suria seperti astroid, meteor, meteoroid dan meteorit kerana terkadang ia mungkin mengelirukan terutama buat kita yang tidak mengkajinya secara mendalam.

Buat anda yang masih keliru berikut adalah makna beberapa di angkasa lepas:

  • Asteroid – merupakan batuan yang mengelilingi matahari. Asteroid dikatakan terbentuk daripada logam atau batuan. Saiznya pula ada yang kecil dan ada yang besar tetapi biasanya lebih kecil daripada planet.
  • Meteoroid – merupakan sisa atau serpihan debu daripada komet atau asteroid. Saiznya pula lebih kecil daripada asteroid.
  • Meteor – merupakan objek angkasa lepas yang memasuki atmosfera bumi disebabkan adanya tarikan graviti bumi. Meteoroid yang memasuki atmosfera bumi akan terbakar dan menghasilkan jalur cahaya dan jalur cahaya itulah dipanggil meteor atau tahi bintang.
  • Meteorit – merupakan meteoroid yang memasuki atmosfera bumi tetapi tidak terbakar sepenuhnya disebabkan oleh saiznya yang besar lalu jatuh ke permukaan bumi.

Sejarah mencatatkan bahawa terdapat beberapa kejadian hentaman meteorit ke bumi tetapi kebanyakan hentaman yang kecil dan fenomena itu yang dipanggil hujan meteor.

Semakin besar ukuran meteorit semakin besar kesannya ke bumi. 65 juta tahun yang lalu setelah berlakunya hentaman asteroid telah menyebabkan kepupusan dinosaur. Apa yang menariknya, hentaman meteorit ke bumi telah mengakibatkan sesuatu yang tidak disangka-sangka telah terjadi.

Menurut maklumat yang diperolehi antara kawah terbesar di dunia adalah Kawah Sudbury di Ontario, Kanada yang mempunyai diameter lebih daripada 100 kilometer. Kawah yang paling terkenal pula adalah Kawah Chicxulub di Yucatan, Mexico.

Gambar Hiasan/Twitter

Menurut penemuan penyelidikan, 21 juta tahun yang lalu, bumi menemui komet dengan diameter 10 kilometer yang terhasil daripada hentaman dari planet tertentu. Tenaga yang dihasilkan komet tersebut dikatakan sama dengan lebih daripada 10 kali bom atom terbesar dalam sejarah dan kesannya telah membentuk Kawah Vredefort.

Kawah Vredefort terletak di kota Friedberg di sebuah daerah bebas Afrika Selatan, kira-kira 120 kilometer di barat daya Johannesburg. Kawah Vredefort merupakan landskap perwakilan struktur atau kawah hentaman meteorit, yang berlaku sejak 2.023 bilion tahun yang lalu. Kawah ini merupakan kawah tertua yang terdapat di bumi dan juga kawah terbesar dan menerima kesan yang paling dalam.

Kawah Vredefort membuktikan berlakunya peristiwa pelepasan tenaga terbesar di dunia. Kejadian ini membawa kepada perubahan global yang sangat dahsyat. Beberapa saintis percaya bahawa ia juga menyebabkan berlakunya perubahan evolusi yang signifikan.

Ia memberikan bukti bahawa pentingnya untuk mengetahui tentang sejarah geologi bumi dan penting juga untuk memahami evolusi bumi. Kawah Vredefort adalah satu-satunya tapak yang tersisa di bumi yang memberikan gambaran keseluruhan geologi lengkap kawah yang terbentuk.

Melalui penyelidikan yang dilakukan, para saintis mengatakan bahawa komposisi mineral batu di kawasan tersebut adala berbeza dengan batuan vulkanik, dan komposisinya menunjukkan bahawa ia terhasil daripada hentaman bintang di luar bumi yang menghentam bumi. Para saintis kemudian menentukan bahawa kawah ini terbentuk kira-kira 2.1 bilion tahun yang lalu.

Menariknya tentang kawasan ini ialah ia merupakan sumber emas dan berlian paling banyak di dunia. Sekurang-kurangnya 1,000 tan emas terkubur di bawah kawah ini. Pada tahun 2017, sebuah lombong emas dengan simpanan sekitar 380 tan ditemui di Shandong, China.

Ini sudah merupakan lombong emas bertaraf dunia dengan simpanan dan lombong emas terbesar di China. Emas yang disimpan di Kawah Vredefort hampir tiga kali ganda dari lombong emas terbesar di China.

Bagi sumber berlian, sumber bijih di sini sudah cukup besar untuk mempengaruhi harga bijih di pasaran antarabangsa. Oleh itu, pemerintah tempatan melarang keras perlombongan yang dilakukan oleh syarikat swasta dan aktiviti perlombongan hanya boleh dilakukan oleh pemerintah.

Sebelum penemuan sumber mineral ini, kawasan tersebut hanyalah sebuah bandar miskin di mana penduduk tempatan hanya menjalankan aktiviti pertanian.

Namun, dengan kedatangan syarikat perlombongan utama dan ribuan pelombong, kawasan tersebut telah menjadi kawasan utama dalam membangun ekonomi Afrika Selatan sehingga hari ini.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular