LONDON – Seorang wanita dari United Kingdom dilaporkan melahirkan bayi kembar lelaki dan perempuan dengan penuh keajaiban ketika beliau berada dalam koma akibat COVID-19.

BBC melaporkan Perpetual Uke, seorang perunding reumatologi di Hospital Birmingham City  berjaya melahirkan bayinya melalui pembedahan caesarean.

Perpetual melahirkan bayi kembarnya yang pramatang ketika kandungan tersebut baru berusia 26 minggu atau 6.5 bulan pada 10 April lalu.

Paparan Skrin/YouTube

Bayi perempuan, Sochika Palmer dilahirkan dengan berat 765 gram manakala kembarnya, bayi lelaki Osinachi Pascal dilahirkan dengan berat 850 gram.

Kedua-dua bayi tersebut segera dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) selepas selamat dilahirkan.

Selepas melahirkan kembar tersebut, ibu ini masih koma untuk tempoh 16 hari berikutnya.

BBC melaporkan sebelum kelahiran menakjubkan itu, Perpetual Uke dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Birmingham, pada akhir Mac akibat jangkitan COVID-19.

Keadaan kesihatannya merosot menyebabkan beliau diberi suntikan bius selepas dimasukkan ke ICU dengan terus koma serta bergantung hayat dengan alat bantuan pernafasan.

Paparan Skrin/YouTube

Doktor kemudian mengesyorkan kaedah bersalin secara pembedahan caesarean kepada suaminya, Matthew Uke ekoran keadaan Perpetual yang agak tenat, untuk menyelamatkan kembar itu.

“Saya benar-benar bimbang dan ketakutan, dengan setiap hari berdoa sambil menaruh harapan isteri saya tidak tergolong dalam kalangan mereka yang meninggal dunia,” kata Matthew.

Sebaik bangkit daripada koma dan melihat keadaan perutnya, ibu ini menjadi panik kerana bimbang dirinya mengalami keguguran.

“Saya nampak perut tidak seperti sebelum ini dan menyangka sudah kehilangan bayi dalam kandungan. Rupanya saya selamat melahirkan mereka dan ia satu keajaiban,” kata Perpetual.

“Semuanya dalam keadaan baik dan kali terakhir ingatan ketika sedar adalah saya jatuh sakit sebelum ambulans datang ke rumah dan seterusnya koma,” katanya.

Paparan Skrin/YouTube

Menurut Perpetual, ketika tersedar daripada koma, beliau menyangka bayi kembar dalam kandungan dan ahli keluarga yang lain telah meninggal dunia.

“Saya sangat bimbang memikirkan suami dan anak terutama apabila tidak dapat melihat bayi kembar saya selama lebih dua minggu,” tambahnya.

Namun, akhirnya Dr Perpetual Uke kembali sembuh dan disatukan semula dengan suami, dua anak, Nnamdi Ronald, 12 tahun, dan Chisimdi Claire, 11 tahun serta tentu sekali bayi kembar mereka. Sungguh menakjubkan takdir Tuhan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Eropah GLOBAL

Video Popular