KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan sebanyak 28 kilang berhampiran syarikat sarung tangan Top Glove di daerah Kapar, Klang akan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan semua pekerjanya menjalani ujian saringan dan kuarantin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penutupan itu susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja kilang berkenaan.

“Untuk hari ini sahaja, sebanyak 1,067 kes positif COVID-19 dicatat dalam kalangan pekerja Top Glove,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur pada 23 November.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri, penutupan secara berperingkat itu akan diselaraskan oleh Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor bersama pihak pengurusan syarikat.

Beliau berkata, setakat hari ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan 5,794 ujian saringan ke atas pekerja kilang Top Glove dan didapati sebanyak 1,889 daripada mereka disahkan positif COVID-19.

Sebelum ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan selama 14 hari di asrama pekerja asing syarikat itu di Meru, Klang bermula 17 November hingga 30 November.

Adun Meru, Fakhrulrazi Mokhtar dalam satu posting di Facebook merayu dan memohon kerajaan pusat supaya memberhentikan sementara semua operasi kilang Top Glove dengan secepat mungkin.

Menurutnya, ini memandangkan kes kluster Jalan Teratai di Meru semakin memburukkan keadaan dan amat membimbangkan semua warga Meru dan pekerja tempatan di kilang itu sendiri.

“Saya selaku wakil rakyat dan ADUN Meru memohon dan merayu supaya pihak kerajaan pusat memberhentikan sementara semua operasi kilang Top Glove secepat mungkin.

“Keselamatan penduduk Meru lebih utama sekarang dari keuntungan kilang Top Glove,” rayuannya dalam posting tersebut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES NASIONAL

Video Popular