Kisah pengalaman pesakit Covid-19 yang berjaya melawan virus yang telah tersebar di seluruh dunia itu kini semakin banyak didengari.

Kesemuanya dikongsikan atas tujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak menganggap bahawa virus ini adalah suatu perkara yang tidak benar-benar wujud.

Pada pagi 21 November, Mira, seorang pesakit Covid-19 dari Kedah ada berkongsi pengalaman dirinya dan keluarganya yang dijangkiti Covid-19.

Paling menyedihkan, virus berkenaan turut meragut nyawa ibundanya yang tersayang dan tiada seorang pun ahli keluarganya dapat mendekati jenazah sebelum pengebumian kerana kesemua ahli keluarganya perlu menjalani kuarantin.

Ikuti perkongsiannya yang berikut:

“Anda boleh kongsikan kiriman ini, saya izinkan untuk hebahkan kesedaran.

Saya dan keluarga merupakan bekas pesakit Covid-19 yang telah sembuh. 16 orang positif. 1 orang meninggal (emak). Kluster Permatang.

Myra Jijie/Facebook

Myra Jijie/Facebook

Assalamualaikum semua, hari ni (20 November 2020) genap 20 hari Mira di hospital disebabkan oleh jangkitan Covid-19, Mira dah janji dengan semua nak cerita semua… Ya Mira tepati janji hari ini. Harap boleh ambil iktibar dan pengajaran. Maaf jika penulisan Mira kacau-bilau. Mira cuba.

22/10/2020

Emak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Sebab kaki emak terlalu membengkak, lebihan cecair (overload fluid) doktor kata.

23/10/2020

Katanya emak kena dikuarantin sebab ada kes. Tak pasti, ujian pengesanan dilakukan dan keputusannya adalah negatif.

24/10/2020

Emak sudah dipindahkan ke wad biasa, kami sekeluarga boleh melawat emak dah. Emak mengadu rasa penat, muka emak membengkak dengan teruk.

26/10/2020

Hari ini hari lahir emak, Mira menyambutnya dengan membeli gubahan bunga, membeli rantai emas untuk emak, sebab kali terakhir emak datang ke Ipoh, emak cakap emak teringin nak rantai emas, sedih sangat emak tak sempat pun pakai, malam itu emak nak kentang goreng dari McDonalds…emak makan sikit sahaja, emak kata teringin. Tapi emak makan dua ke tiga keping kentang goreng sahaja.

Myra Jijie/Facebook

27/10/2020

Emak dimasukkan ke ICU semula kerana pernafasan emak tidak baik, emak di dalam ICU tetapi emak nak mi sotong pula, jadi abang belikan emak mi sotong, kakak ipar bantu suapkan mi sotong kepada emak, kami perlu bergilir-gilir naik ke ICU sebab pelawat hanya dibenarkan masuk sebanyak dua orang sahaja dalam masa dua jam. Kami anak-anak kena berjumpa dengan doktor emak, sakit emak kami terpaksa rahsiakan.

29/10/2020

Emak telah diberi mesin bantuan pernafasan (intubate), atas keizinan kami semua, sempat Mira cium emak sebelum intubate, minta ampun dengan emak. Belai-belai emak. Rupanya itu adalah kali terakhir Mira dapat sayang emak dan cium emak.

30/10/2020

Emak koma, keadaan emak dah kritikal, doktor meminta kami sekeluarga reda jika sesuatu terjadi kepada emak. Pulang dari hospital, kami semua dalam keadaan yang letih, pada waktu itu Mira dan abang lagi seorang dah ada gejala batuk dan demam.

Myra Jijie/Facebook

31/10/2020

Abang Mira menghubungi Mira pada waktu pagi dan memberitahu bahawa emak disahkan positif Covid-19 ketika ujian pengesanan kali yang kedua, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan Mira, Mira menangis dan meraung, Mira tahu dengan keadaan emak yang kritikal, harapan emak untuk sembuh sememangnya sangat-sangat tipis, emak kemudiannya dipindahkan ke ICU Hopital Pulau Pinang.

Maka tercetuslah Kluster Permatang dari emak, sebenarnya kami pun tidak tahu virus ini datang dari mana, sesungguhnya soalan ini tak mampu dijawab, sebab Covid-19 ini kita tak nampak, kalau nampak senang diberitahu datang dari siapa.

Kakak ipar Mira adalah orang yang pertama melakukan ujian pengesanan memandangkan dia bekerja di hospital. Jadi dia paling pantas melakukan ujian pengesanan sebab dia sedang bekerja pada waktu itu. Kami pula melakukan ujian pengesanan pada 2 November. Kakak ipar dapat keputusan pada hari yang sama juga sebab dia kontak rapat dengan emak dan dia disahkan positif Covid-19 sebelum ambulans datang mengambilnya.

Pada waktu itu, orang mengatakan bahawa dia adalah pencetus (kluster), kasihan dia. Dia pun tak tahu apa-apa dan kami pun tidak tahu daripada siapa kami dapat virus ini. Covid-19 berada di merata tempat dalam komuniti kita sekarang, asbab emak aku positif semua buat cerita bukan-bukan. Tak apalah kami reda ini ujian buat kami.

1/11/2020

Abang Mira yang ketiga melakukan ujian saringan kerana gejalanya semakin teruk. Kami pula diminta oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan ujian pengesanan pada 2 November supaya mereka mempunyai masa untuk bersedia menjalankan ujian pengesanan kepada keluarga besar kami. Abang Mira disahkan positif dan pada malam itu juga ambulans datang mengambilnya.

2/11/2020

Mira sekeluarga pergi ke Klinik kesihatan Kulim untuk menjalani ujian pengesanan. Gejala yang Mira alami adalah yang paling teruk antara semua. Batuk, demam yang kerap, muntah, sakit dada seperti ditumbuk-tumbuk, sukar untuk bernafas.

Mira terpaksa serah diri di Hospital Kulim malam itu juga tanpa tunggu keputusan ujian kerana Mira tidak boleh bernafas. Dalam masa beberapa jam, Hospital Kulim memindahkan Mira ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Myra Jijie/Facebook

3/11/2020-5/11/2020

Suhu mira adalah pada paras 39°C, paras oksigen juga dalam keadaan yang buruk. Mira perlu diberi darah tambahan kerana bacaan hemoglobin (HB) adalah 7, Mira dipakaikan gas dan malam itu juga Mira dipindahkan ke ICU HSB baru, dan pada waktu itu bacaan oksigen Mira telah jatuh dengan teruk.

Malam itu juga doktor bagi penerangan untuk memberi bantuan pernafasan (intubate) kepada Mira. Doktor meminta nombor telefon suami Mira untuk memberitahu semua perkara. Mira menangis dan merayu kepada doktor kerana Mira tidak mahu memakai intubate seperti emak, Mira nekad untuk melawan dan mahu mencuba untuk melawan sakit ini.

Myra Jijie/Facebook

Myra Jijie/Facebook

6/11/2020

Abang Mira pula dimasukkan ke ICU kerana situasi yang sama seperti Mira, kekurangan oksigen. Sesungguhnya Covid-19 ini sangat jahat. Virus ini menyerang Mira dan abang Mira dengan pelbagai cara. Sementara itu seorang demi seorang dari keluarga Mira dimasukkan ke HSB kerana disahkan positif Covid-19. Anak kakak Mira yang berusia empat bulan juga disahkan positif.

8/11/2020

Jam 9.13 pagi emak meninggalkan kami untuk selamanya. Emak sudah bertarung selama 8 hari, emak dah tak mampu, emak dah penat. Paling sedih buat keluarga Mira. Kami seorang pun tak boleh pulang untuk melihat emak.

Kami semua berada di hospital kerana Covid-19. Hanya suami Mira dengan 3 orang anak buah sahaja yang negatif, tetapi mereka tidak boleh keluar sebab kuarantin. Sedih sangat. Kami menggunakan wakil untuk urusan pengecaman jenazah emak, kubur pun tak boleh tengok. Semoga emak tenang di sana. Al-Fatihah.

Dan Mira di ICU selama 2 minggu, berperang dengan sakit, dikuarantin seorang diri dalam bilik kuarantin sedangkan pesakit lain di ICU duduk luar yang katilnya diletakkan bersama. Boleh kata keadaan Mira adalah sangat-sangat tidak baik. Boleh rujuk gambar. Penat 2 minggu itu Allah sahaja yang tahu. Hari-hari Mira berperang dengan sakit.

Myra Jijie/Facebook

Myra Jijie/Facebook

16/11/2020

Alhamdulillah akhirnya Mira telah sembuh, Mira dipindahkan ke wad biasa di HSB lama. Sekarang Mira dalam proses penyembuhan, dapat duduk sebelah suami. Suami disahkan positif dalam ujian pengesanan kedua pada hari ke-14. Tiga orang anak buah Mira masih lagi negatif sehingga kini. Imun mereka kuat.

21/11/2020

Hari ke-20, doktor beritahu kalau masuk hari ke 21, Mira sudah boleh dibenarkan pulang, mudah-mudahan. Amin. Satu sahaja Mira nak pesan buat orang di luar sana. Bila ada teman-teman atau saudara-mara yang disahkan Covid-19, seharusnya kita memberi sokongan terhadap emosi mereka, bukan kita tokok tambah cerita, buat fitnah yang tak betul tentang pesakit yang positif kerana perkara ini boleh membuatkan emosi pesakit semakin teruk.

Alhamdulillah, kini keluarga Mira semua sudah sembuh dan disahkan negatif. Abang Mira dan kakak ipar akan discaj esok (21 November), manakala Mira dan suami mungkin akan discaj Ahad (22 November) ini.

Ahli keluarga yang lain sudah discaj lebih awal kerana mereka telah sembuh. Covid-19 ini tak ada ubat pun bagi yang tiada gejala. Bagi Mira yang dimasukkan ke ICU, ada ubat yang Mira dapat.

Mira harap kawan-kawan di luar sana, patuhilah prosedur operasi standard (SOP), jika tiada urusan penting, tidak perlu keluar…

Covid-19 ini benar-benar wujud. Memang sakit sangat, tak boleh nak ucap perasaan sakit itu macam mana. Allah maha mengetahui. Hentikan sebar berita yang tidak sahih, hentikan fitnah terhadap pesakit-pesakit Covid-19. Selagi kita belum terkena, kita tidak akan rasa siksa itu macam mana. Jadi tolonglah beri sokongan moral kepada mereka. Itu sahaja sudah cukup.

Tolonglah sentiasa memakai pelitup muka, cuci tangan dengan kerap, kekalkan jarak 1 meter dan jaga SOP,” tulis Mira dalam kirimannya.

Di akhir kiriman, Mira juga sempat mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan jururawat dan doktor-doktor di ICU HSB yang telah menjaganya dengan baik termasuklah menguruskan semua rutin harian Mira.

“Alhamdulillah, mereka semua ikhlas menjalankan tugas mereka. Mira harap Mira dapat membantu mereka dengan memberi kesedaran kepada semua orang tentang Covid-19.”

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular