PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu siasatan yang dijalankan terhadap sindiket pemalsuan cap sempadan pada Jumaat, 20 November mendapati bahawa seorang kakitangan kerajaan Gred KP19 yang mempunyai pendapatan minimum RM1,360 sehingga RM4,052 maksimum mempunyai empat buah kenderaan mewah.

Jika difikirkan secara logik, tidak mungkin seorang kakitangan kerajaan yang berjawatan rendah mampu memandu kenderaan mewah apatah lagi memandu kereta berjenama Roll Royce Phantom, Mustang, Range Rover dan Audi.

Fareez Azman/Twitter

Disebabkan keraguan yang timbul ini, siasatan SPRM akhirnya mendapati bahawa pemilikan kenderaan mewah berkenaan adalah kepunyaan seorang kakitangan Jabatan Imigresen yang terlibat dalam sindiket pemalsuan cap sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) untuk membantu warganegara asing memasuki dan meninggalkan Malaysia tanpa mengikut undang-undang.

Menurut sumber yang boleh dipercayai kepada laman berita The Star, kereta mewah berkenaan telah didaftarkan di bawah nama dua orang warganegara China yang dipercayai merupakan ejen pekerja asing yang beroperasi di Malaysia. Selain itu, terdapat juga dua buah kereta mewah yang didaftarkan di bawah nama dua orang ejen tempatan.

Fareez Azman/Twitter

Siasatan yang dinamakan sebagai “Op Selat” berkenaan sehingga Jumaat telah menahan 50 orang yang terlibat dalam sindiket, dengan 28 orang pegawai Jabatan Imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang yang lain.

Menurut laporan The Star, sindiket berkenaan menyediakan perkhidmatan cop kepada pekerja asing dan pendatang tanpa izin yang dipercayai terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia antarabangsa terutamanya di China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh.

Maklumat ini dilaporkan diketahui semasa siasatan dijalankan dan pihak berkuasa mendapati bahawa ejen warga asing telah bekerjasama dengan pegawai Imigresen di pintu masuk negara seperti KLIA dan KLIA2.

“Pelawat yang telah disenarai hitam tetapi ingin memasuki Malaysia akan dibantu oleh ejen di luar negara yang akan memberikan maklumat pelawat kepada rakan sejawatnya dari Malaysia.

Fareez Azman/Twitter

“Ejen tempatan kemudian akan menghubungi pegawai Imigresen di KLIA dan KLIA2 untuk ‘menubuhkan’ kaunter untuk memudahkan kemasukan orang asing,” memetik kata sumber kepada The Star.

Dilaporkan, proses yang sama juga akan dilakukan sekiranya ‘pelanggan’ warganegara asing yang sama ada telah disenarai hitam, mempunyai pas lawatan yang telah tamat atau mempunyai pasport palsu mahu meninggalkan Malaysia.

Sindiket ini yang telah beroperasi sejak tahun 2017 ini dipercayai telah meraih sehingga RM14.5 juta dan telah memberikan perkidmatan seperti “pasport terbang” dan “perkhidmatan kaunter” kepada sekurang-kurangnya 30,000 pekerja asing dan pendatang tanpa izin.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap dan siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular