KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dalam kenyataannya pada Khamis, 19 November memaklumkan bahawa semua kerajaan negeri telah memberikan sokongan untuk melaksanakan inisiatif Kempen Tiada Beg Plastik di seluruh negara bermula Disember 2020.

Pelaksanaan inisiatif ini adalah untuk meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia serta sebagai salah satu langkah kerajaan untuk menangani masalah pencemaran plastik sekali guna.

Gambar hiasan/Unsplash

“Ahli-ahli Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 yang bermesyuarat pada 18 Nov telah meluluskan Kertas Cadangan Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibentangkan KASA.

“MNKT turut bersetuju meluluskan pelaksanaannya di semua premis seluruh negara dengan mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.

“Pengenaan caj ini berpandukan prinsip ‘user-pay-principle’ yang bertujuan menghindari penggunaan plastik sekali guna. Kutipan ini perlu diserahkan kepada PBT untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Gambar hiasan/Unsplash

Beliau dalam penerangannya turut memaklumkan bahawa pelaksanaan kempen berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 yang akan dimulakan pada bulan Disember 2020 sehingga 2021 dengan pelaksanaan yang bertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.

Manakala, bagi Fasa 2 pula adalah pada tahun 2022 sehingga 2025 yang melibatkan pelaksanaan kempen Tiada Beg Plastik di jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.

Tambahnya, usaha ini adalah selari dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifat Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang bertujuan untuk membendung pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lain yang lebih mesra alam seperti beg guna semula.

Sehubungan itu, pihak KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan PBT dalam usaha gerak kerja pelaksanaan kempen ini termasuk untuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan untuk menghindari penggunaan plastik sekali guna.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Kempen NASIONAL

Video Popular