Sebuah bas lama dikenali ‘Magic Bus’ atau ‘Bus 142’ pada mulanya hanya merupakan sebahagian daripada sistem transit bandar Fairbanks di Alaska pada tahun 1940-an. Bas lama tersebut telah dibeli oleh syarikat pembinaan Yutan yang digunakan sebagai tempat berteduh pekerja pembinaan jalan di Taman Negara Denali.

Setelah semua jalan siap dibina pada tahun 1961, bas itu dibiarkan terbengkalai berhampiran Sungai Teklanika di taman negara tersebut.

Paparan Skrin/YouTube

Bas lama yang mereput usang berubah menjadi bas terkenal apabila seorang pengembara bernama Christopher McCandless menemuinya dan menghabiskan masa selama 112 hari di dalamnya setelah mengembara mencari makna kehidupan selama 2 tahun.

Pada 6 September 1992, sekumpulan pemburu rusa menemui mayat Christopher McCandless yang berusia 24 tahun di dalam bas itu.

Menerusi catatan perjalanan Christopher dalam buku bukan fiksyen popular ‘Into The Wild’ yang diterbitkan pada tahun 1996, dan filem dengan tajuk yang sama arahan aktor Sean Penn pada tahun 2007, Christopher meninggal dunia di dalam bas itu akibat kebuluran ekoran terperangkap di tengah aliran Sungai Teklanika yang deras dan tidak dapat kembali ke bandar.

Paparan Skrin/YouTube

Kisah benar ‘Into The Wild’ telah menjadi begitu popular sehingga ramai orang memuja semangat individualis dan daya juang pemuda kaya Christopher McCandless kelahiran Washington itu sebagai seorang wira.

Semangat mahu menguji diri sendiri dan merasai pengalaman hidup tanpa rasa takut dalam diri Christopher sehingga dia menemui ajalnya telah membuat ramai pengembara dari seluruh dunia mahu mengikut jejaknya dengan melakukan perjalanan mencari bas buruk ‘Into The Wild’.

Paparan Skrin/YouTube

Perjalanan dan penghijrahan mencari makna kehidupan yang digelar penduduk tempatan bandar Healy di Alaska sebagai sangat berbahaya dan sia-sia.

Menurut pegawai tempatan, penggembaraan mencari bas ‘Into The Wild’ berwarna putih hijau tersebut telah menyebabkan ramai pengembara yang cedera, terkandas, bahkan menemui ajal dengan cara sama seperti Christopher McCandless.

Paparan Skrin/YouTube

Aliran sungai deras yang sama telah meragut nyawa Claire Ackerman dari Switzerland pada tahun 2010 dan Veramika Maikamava dari Belarus pada tahun 2019 dalam cubaan mereka menyeberangi Sungai Teklanika yang deras dan sangat sejuk untuk mencapai lokasi bas popular tersebut.

Akhirnya, walaupun bas ‘Into The Wild’ jelas menjadi tarikan pelancongan utama yang popular berhampiran Sungai Teklanika dan Taman Negara Denali di Alaska, pihak berkuasa memutuskan untuk mengalih bas itu sebagai langkah keselamatan pada bulan Jun yang lalu.

Paparan Skrin/YouTube

Sebuah helikopter CH-47 Chinook telah digunakan untuk mengangkut bas tersebut ke satu lokasi lain yang lebih selamat, mengakhiri risiko perjalanan pengembara juga kesukaran pasukan penyelamat dan pihak berkuasa untuk menyelamatkan mereka sekiranya terkandas.

Pesuruhjaya Corri Feige dari Jabatan Sumber Asli Alaska berkata, “Kami hanya mahu semua orang menikmati alam semulajadi di Alaska dengan selamat, dan kami juga memahami lokasi bas ini mempunyai banyak imaginasi popular. Namun, ia jelas mendatangkan bahaya dan misi menyelamat yang mahal, selain meragut nyawa pengunjungnya.”

Paparan Skrin/YouTube

Kali terakhir sebelum bas itu dialihkan, lima pelancong dari Itali dan seorang pelancong dari Brazil telah di selamatkan pada bulan April.

“Untuk keselamatan orang ramai, kami bertegas telah melakukan perkara yang betul. Pada masa yang sama, kami memahami ia adalah sebahagian daripada sejarah dan terasa sedikit perit untuk melihat sebahagian nilai sejarah terpaksa dialih,” kata Datuk Bandar Denali Borough, Clay Walker.

Paparan Skrin/YouTube

Sementara penulis buku ‘Into The Wild’ Jon Krakauer memberi komen, “Lokasi itu tidak lagi dihormati. Tetapi memang agak tragis apabila ramai orang yang maut kerana melakukan perkara dungu yang sia-sia. Bas itu mempunyai simbol penuh kuasa. Ia menjadi satu manifestasi aneh tentang perjalanan hidup Christopher McCandless yang tidak akan pernah hilang.”

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular