INDONESIA – Seorang lelaki dari Sumatera Utara kini bergelar jutawan selepas menjual batu meteorit yang terjatuh di rumahnya di Kolang kepada seorang pakar meteorit.

Batu meteorit seberat 2.1 kilogram yang ditemui Josua di rumahnya

Memetik laporan Daily Mail, lelaki yang dikenali sebagai Josua Hutagalung, 33 tahun itu telah ditawarkan sebanyak £1.4 juta (RM7.6 juta) oleh seorang pakar batu angkasa bernama Jared Collins. Batu ini dikatakan mempunyai nilai yang sangat tinggi dan dianggarkan berusia 4.5 bilion tahun selain dikelaskan sebagai CM1/2 carbonaceous Chondrite. Menurut Jared lagi, meteorit yang berharga dan amat jarang ditemui ini boleh dijual sekitar USD857 per gram yang bersamaan sekitar RM3,514. Sekiranya batuan ini mengandungi logam dari angkasa, harganya boleh mencecah sehingga USD1,000 bagi setiap gram.

Isteri Josua sedang menunjukkan batu meteorit yang jatuh di rumah mereka

Bapa kepada tiga orang anak lelaki ini berharap wang yang diterima hasil jualan meteorit itu akan disalurkan bagi membina sebuah gereja di kawasan perumahannya. Kata Josua, “Saya sudah lama mahukan anak perempuan dan saya harap ini adalah petanda rezeki untuk memiliki anak perempuan”.

Jared kemudian telah menghantar batu berkenaan yang dinamakan sebagai Kolang ke Amerika Syarikat sebelum dibeli oleh seorang doktor dan pengumpul meteorit dari Indianapolis bernama Jay Piatek.

Pada Ogos lalu, Josua yang bekerja sebagai tukang keranda telah menemui batu seberat 2.1 kilogram itu yang dikatakan masih hangat dan akan terserpih sebaik sahaja disentuh. Batu meteorit itu dilaporkan terjatuh di atas bumbung rumahnya sehingga menyebabkan sebahagian bumbung berlubang sebelum jatuh tertanam sedalam 15 sentimeter. Kejadian ini turut mengejutkan penduduk setempat yang mendengar bunyi kuat sehingga menggegarkan rumah mereka.

Selain meteorit tersebut, terdapat tiga lagi serpihan meteorit yang turut ditemui di kawasan sekitar. Salah satu daripada serpihan berkenaan telah berjaya ditemui di sebuah bendang sawah yang terletak sekitar tiga kilometer dari rumah Josua.

Batu meteorit ini ditemui dalam keadaan hangat dan terserpih apabila disentuh

“Ia adalah batu meteorit. Terdapat banyak sisa batu daripada pembentukan sistem solar di angkasa. Kebanyakan meteorit jatuh di lokasi yang jauh dari tempat tinggal seperti lautan, hutan atau padang pasir,” kata Ketua Institut Aeronautik dan Angkasa Negara Indonesia, Thomas Djamaluddin yang mengedahkan kejadian meteorit jatuh ke kawasan berpenduduk adalah sesuatu yang jarang berlaku.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular