Tatkala dunia sedang dilanda pandemik, ramai pihak yang turut terkesan. Antaranya, majikan bertindak mengurangkan bayaran gaji, memberhentikan pekerja, menutup premis yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sebagainya. Kesannya melibatkan semua pihak dari pelbagai lapisan tanpa mengira umur, jantina mahupun kelas sosial.

Kita dapat lihat kerajaan dan juga beberapa individu yang prihatin dengan situasi semasa dan sanggup turun padang bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar dalam kesusahan. Terbaru, tular satu perkongsian di Twitter mengenai kehidupan sepasang suami isteri warga emas yang tinggal bersendirian dalam hutan tanpa sebarang kelengkapan yang baik.

Seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai @joxxanna telah memuat naik beberapa tangkap layar (screenshot) yang mengisahkan tentang dua warga emas yang tinggal di Lubuk Antu, Sarawak. Pasangan warga emas ini dikatakan hidup dalam keadaan serba daif tanpa kemudahan elektrik, bekalan air bersih mahupun rumah yang selesa.

Lebih menyentuh hati lagi, nenek yang berusia 80-an itu mengalami cacat penglihatan dan hanya dijaga oleh suaminya sahaja. Mereka bergantung sepenuhnya kepada air sungai dan akan memasak menggunakan kayu api. Soal anak pula, dipercayai anak mereka tinggal di seberang sungai yang terletak di Batang Ai dan juga hidup dalam keadaan daif.

Jelas @joxxanna lagi, mereka pernah meminta bantuan kewangan daripada pihak kerajaan namun diminta untuk menyediakan dokumen sokongan dalam bentuk gambar dalam borang permohonan. Perkara ini sememangnya tidak dapat dipenuhi memandangkan pasangan ini tidak mempunyai telefon bimbit.

Walau bagaimanapun, selain @joxxanna terdapat seorang lagi individu berhati mulia yang seringkali turun padang bagi menghulurkan bantuan kepada golongan susah di kawasan sekitar. Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Wan Uras Yida ini merupakan pemilik gerai makan dan akan memberikan sumbangan kepada pasangan ini setiap bulan.

Sekiranya anda ingin membantu meringankan beban, anda boleh hubungi Wan Uras Yida di talian 016-5919755 atau hulurkan sumbangan anda ke akaun CIMB 7034443216 (Wan Huzaimi bin Wan Azami).

Maybe you're interested :

Share

Video Popular