Hanya orang yang memelihara kucing sahaja akan memahami perasaan kehilangan kucing yang disayangi. Meskipun kucing cuma haiwan peliharaan, namun kita pasti akan menganggap haiwan ini seperti ahli keluarga sendiri apatah lagi jika kucing itu sudah bertahun-tahun menjadi sebahagian daripada ahli keluarga.

Baru-baru ini di Twitter, telah tular sebuah video yang merakamkan kejadian pemergian seekor kucing bernama Milo yang mati akibat dilanggar kereta. Lebih menyedihkan lagi, reaksi si bapa yang cukup sebak dan menangis tanpa henti sebaik sahaja mengetahui kucing kesayangannya itu telah pergi buat selamanya.

Menurut perkongsian @CikChaaChaa di Twitter, Milo sudah hidup bersama keluarganya sejak enam tahun yang lalu dan kucing ini juga mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan bapanya.

“Selamat tinggal Milo, paling manja dengan Abah. Setiap hari tidur dengan Abah. Kejut abah bangun Subuh. 6 tahun…”

Milo dikatakan mati kerana dilanggar oleh salah seorang ahli keluarganya sendiri tanpa sengaja. Pemergian Milo ternyata memberi kesan yang amat mendalam buat keluarga ini terutamanya si bapa. Menerusi video berdurasi 2 minit 20 saat yang dirakamkan oleh si ibu, dapat dilihat si bapa merangkul erat tubuh Milo sambil teresak-esak. Bapa ini kemudian membawa Milo ke halaman rumah untuk ditanam. Dapat dilihat, bapa ini beberapa kali mencium Milo sambil menangisi kehilangan kucing kesayangannya itu.

Turut kedengaran si ibu yang sempat bertanya sama ada Milo masih hidup lagi atau tidak sebelum si bapa meletakkan Milo ke dalam ‘kuburnya’. Mereka kemudian sama-sama menangis melihat Milo bakal ditimbus tanah dan telah pergi buat selama-lamanya.

“Yang ada kucing sahaja faham perasaan ini. Enam tahun jaga dia (Milo) sampai besar dan sihat, dia tidur dengan Abah setiap hari. Hari ini, dia pergi meninggalkan kami semua buat selamanya. Umi saya rakam video ini, dia juga tidak tahan menangis. Sakitnya Ya Allah”.

Setiap pagi Milo akan duduk di atas riba Abah

@CikChaaChaa juga sempat berkongsi satu video bapanya yang masih menangis mengenangkan Milo meskipun telah mengambil seekor lagi kucing jalanan baharu sebagai pengganti. 

 

Sepanjang enam tahun ini, Milo dikatakan sentiasa menceriakan suasana dalam rumah tersebut. Kehadiran Milo meskipun untuk tempoh yang singkat telah memberikan senyuman dan kenangan yang indah buat keluarga ini. Namun, yang pergi tetap akan pergi. Semoga keluarga Milo terutamanya si bapa akan bertabah dan menerima hakikat bahawa haiwan kesayangan mereka sudah lagi tiada.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP VIDEO

Video Popular