JOHOR BAHRU – Satu kemalangan maut dilaporkan melibatkan seorang wanita yang membonceng motosikal setelah melanggar lubang pada jalan di Kilometer 34 Lebuhraya Pasir Gudang.

Insiden yang berlaku pada jam 6:45 petang 15 November itu mengakibatkan mangsa yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di muka dan kepala lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Ismail Dollah, mangsa dan seorang lelaki yang menunggang motosikal itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari Johor Bahru ke Pasir Gudang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Honda RS itu melanggar lubang”.

Lubang berkenaan difahamkan berada di lorong tengah lebuh raya tersebut sehingga ia menyebabkan penunggang hilang kawalan dan mereka terjatuh di atas jalan.

“Kemudian datang sebuah kereta jenis Proton Saga daripada arah yang sama dan sempat mengelak daripada melanggar kedua-dua penunggang dan pembonceng”.

Namun kereta berkenaan dilaporkan terbabas dan melanggar pembahagi jalan ekoran mengelak daripada melanggar kedua-dua mangsa.

Berdasarkan laporan, penunggang berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian lutut, bahu dan rusuk.

Mayat pembonceng pula dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat sementara pemandu kereta berusia 34 tahun walau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular