Pernahkah anda berimpian untuk melakukan perjalanan melancong bersama ibu bapa?

Dalam 10 tahun terakhir ini sebelum pandemik melanda, seorang wanita dari Shanghai, Yu Huili membawa bapa kesayangannya, Yu Ronghua melancong ke 30 negara di seluruh dunia.

Dalam masa pengembaraan itu, duo bapa dan anak perempuan ini telah merakamkan banyak gambar dan momen berharga, tanpa menyedari akhirnya mereka telah mengumpulkan lebih 20 album perjalanan mengelilingi dunia.

Si bapa dengan bangga dan gembira berkata momen ini adalah harta paling berharga di sepanjang kehidupannya.

Yu Ronghua dan Yu Huili bukan pakar pengembaraan. Dalam masa 10 tahun kebelakangan sebelum pandemik, mereka telah melancong ke pelbagai lokasi menarik di dunia yang kebanyakannya adalah destinasi pelancongan popular yang biasa.

Duo bapa dan anak ini pada mulanya tidak berniat untuk tidak mencari makna kehidupan di sepanjang pengembaraan, juga tidak mengejar masa kerana takut menyesal dan mensia-siakan, tetapi hanya rasa ingin tahu untuk melihat pelbagai tempat menarik yang berbeza dan memahami budaya setempat di negara yang mereka lawati.

Keluarga Yu hanya berlatar belakang dalam golongan biasa dan sederhana disamping mereka tidak mempunyai banyak simpanan. Dalam masa 10 tahun pengembaraan itu, Yu Huili menghabiskan hampir semua simpanannya.

Namun wanita ini tidak pernah menyesal, kerana dia akhirnya berasa amat berbaloi kerana telah dapat menyembuhkan penyakit bapanya.

Yu Ronghua, 72 tahun kelihatan bertenaga apabila dapat berjalan dengan pantas pada hari ini, tetapi keadaan kesihatannya tidak seperti itu ketika 10 tahun yang lalu.

Ketika Yu Ronghua bersara pada tahun 2009, dia sering berasa sakit pada bahagian tulang tumit kanannya dan berasa amat tidak selesa apabila penyakit itu menyerang, bahkan bapa ini sering berjalan sambil menahan kesakitan.

Yu Ronghua telah mencuba pelbagai rawatan namun tidak berhasil, sehingga membuatnya berasa amat tertekan. Ada ketikanya, bapa ini menjadi begitu kecewa dan tidak mahu berganjak dari katilnya dengan hanya berbaring sepanjang hari.

Bapa yang pada mulanya seorang bersikap lemah lembut tetapi kini menjadi kurang sabar dan kemurungan akibat penyakit kakinya.

Yu Huili turut merasai kepiluan yang dialami bapanya dan cuba berusaha untuk melakukan sesuatu, dan ibunya menyarankan agar dia membawa bapanya ini keluar melancong.

“Bapa saya mempunyai impian yang di simpan sepanjang hayatnya untuk melawat Switzerland dan Itali,” kata Yu Huili.

Semasa Yu Ronghua berada di sekolah menengah, gurunya pernah berkata, “Itulah negara yang paling indah di dunia!” Kalimat kekal dalam ingatan di sepanjang hidupnya.

Yu Huili kemudian mencadangkan supaya mereka melakukan perjalanan ke negara itu dan mula melancong, tetapi bapanya tidak bersetuju.

Walaupun dia sebenarnya berasa teruja, tetapi pada masa yang sama Yu Ronghua tidak mahu anak perempuannya menghabiskan wang hasil titik peluh mencari rezeki miliknya, jadi dia berkeras tidak mahu pergi.

Yu Huili kemudian berkata semua tiket penerbangan dan penginapan hotel telah ditempah, dan wang sudah dibayar dan tidak akan dikembalikan. Jika mereka tidak pergi, semuanya dalam kerugian, maka dengan itu Yu Ronghua tidak lagi dapat mengelak lalu bersedia untuk pergi.

Sebelumnya, bapa dan anak ini jarang sekali pergi melancong ke luar negara. Bermula prosedur memohon pasport dan visa sehingga menguruskan laluan perjalanan, setiap pautan mesti dipertimbangkan dan mereka perlu bermula dengan lancar sejak dari awal.

Pada 13 Oktober 2010, bapa dan anak perempuan ini memulakan perjalanan mereka melancong ke negara orang.

Yu Ronghua menaiki penerbangan buat pertama kali dalam hidupnya dan berasa amat gembira.

Dia meletakkan span tebal di dalam kasutnya, dengan harapan dapat menghilangkan rasa tidak selesa menahan kesakitan tumit kaki yang sering dialami.

Namun, Yu Ronghua berada dalam suasana yang tenang dan gembira di sepanjang perjalanan kerana perhatian dan tarikannya tertumpu kepada pemandangan indah yang segar lagi menakjubkan, sehingga membuat dirinya langsung terlupa dengan kesakitan yang pernah dialami.

Setelah menghabiskan tempoh 10 hari melancong ke Switzerland dan Itali dan setelah mereka pulang, Yu Ronghua dengan bersungguh-sungguh berkata kepada anak perempuannya,”Terima kasih atas kerja keras kamu kali ini.”

Yu Huili jarang mendengar bapanya mengucapkan ‘terima kasih’, dan perasaan mereka yang biasa dipendam di dalam hati kini dengan mudah dapat diluahkan.

Yu Ronghua pada mulanya menyangka bahawa impiannya melawat Switzerland dan Itali kini sudah menjadi kenyataan, jadi dia tidak mengharap dapat keluar melancong lagi. Lagipun melancong memerlukan perbelanjaan yang banyak.

Tetapi kini dia sering menyatakan kegemarannya untuk terus melancong jika berpeluang, dan sering menceritakan pengalaman melancong itu kepada isterinya menerusi gambar-gambar yang telah diambil.

Yu Ronghua juga menandakan maklumat terperinci mengenai gambar-gambar tersebut, kerana takut terlupa di tempat mana ia telah diambil.

Hakikatnya, Yu Ronghua mampu mengingatinya dengan jelas kerana dia berasa gembira. Dia berkata, “Saya rasa perjalanan ini akan menjadi warisan kepada anak perempuan saya. Setelah saya tiada kelak, dia akan terus mengingati saya ketika melihat gambar-gambar ini. Apabila mempunyai anak sendiri, dia mungkin akan dapat memberitahu anaknya bahawa dia pernah mengunjungi tempat ini bersama bapanya (datuk) sebelum ini.”

Yu Huili sangat terharu ketika mendengarnya. Dia tidak pernah menyangka bahawa gambar-gambar itu adalah ‘warisan’ ayahnya atau lebih tepat untuk mengatakan ia sebagai ‘harta’ yang tidak ternilai harganya.

Kehidupan Yu Huili biasanya sangat sibuk dan dia tidak mempunyai banyak waktu untuk berkomunikasi dengan ibu bapanya, juga tidak dapat menghabiskan waktu yang lama bersama orang tuanya.

Jadi, apabila dia memutuskan untuk membawa bapanya untuk melakukan perjalanan dan melancong lebih banyak tempat pelancongan di masa hadapan, maka itu adalah satu cara yang dapat menunjukkan rasa kasih sayang terhadap ibu bapanya.

Mereka melakukan perjalanan melancong ke tempat menarik di dunia sebanyak 1 atau 2 kali dalam setahun. Yu Huili adalah pengurus perniagaan syarikat pengangkutan. Dia sangat sibuk dengan pekerjaannya, tetapi akan mengumpulkan semua cuti tahunannya untuk membawa bapanya pergi melancong.

Yu Huili menganggap percutian ini sebagai sebagai pelaburan kesihatan, kerana keadaan mental bapanya benar-benar menjadi semakin baik setelah melancong ke banyak negara, yang pada dasarnya sama sahaja, tetapi kini mereka mengubah perbelanjaan perubatan menjadi perbelanjaan perjalanan.

Sementara itu, ibu Yu Huili akan berasa tidak selesa menaiki pengangkutan yang digunakan, maka yang demikian tidak mampu menempuh perjalanan jarak jauh, jadi setiap kali itu hanya bapa dan anak perempuan ini yang pergi melancong bersama.

Mereka saling menemani dan menikmati perjalanan sambil merakam pemandangan indah dari pelbagai negara dan wilayah. Tempat-tempat indah ini seperti pentas drama yang semakin lama telah memperkayakan kehidupan mereka.

Mereka juga bertemu dengan pelbagai ragam manusia yang ramah, menyaksikan pemandangan indah dan menakjubkan di seluruh dunia dengan mata sendiri, yang sudah semestinya dapat mengubah persepsi mereka terhadap dunia.

Yu Huili percaya bahawa makna pengembaraan mereka ketika mengembara melihat dunia di 30 buah negara merupakan satu kesempatan buat mereka untuk melihat kehidupan sendiri ketika melihat kehidupan orang lain dalam perjalanan mereka yang jauh.

Ini bukan pengalaman untuk menilai orang lain, tetapi untuk mendapat inspirasi dari pengalaman orang lain.

Melancong dan mengembara bersama seorang bapa sendiri bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kasih sayang keluarga, tetapi juga turut memperluas pengetahuan dan pemikiran mereka menjadi lebih terbuka serta mendapat kedamaian jiwa. 

Pengalaman melancong bersama bapa yang akan terus diingati oleh Yu Huili sampai bila-bila dan dia tidak pernah menyesal membuat keputusan itu walau sedikit pun.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular