WASHINGTON – Para penyokong Presiden Donald Trump dilaporkan telah berkumpul di Freedom Plaza di Washington pada hari Sabtu, 14 November untuk melakukan demonstrasi dan menyertai banyak lagi demonstrasi lain di seluruh negara bagi menunjukkan sokongan kepada Trump dan meminta keadilan dalam proses pilihan raya yang telah berlangsung baru-baru ini.

Penyokong pro-Trump mengambil bahagian dalam “Million March MAGA” dari Freedom Plaza ke Mahkamah Agung di Washington pada 14 November 2020. (Tasos Katopodis/Getty Images)

Berjalan menuju ke Mahkamah Agung, para peserta demonstrasi dalam pada itu turut membawa papan tanda yang bertulis, “Hentikan Pencurian”, “Jadikan Amerika Adil Semula” dan “Trump 2020.” Sebelum bermulanya perarakan, orang ramai mendengar ucapan dari penyokong Trump yang terkemuka termasuk Rep. Louie Gohmert (R-Texas), pengasas My Pillow, Mike Lindell, dan beberapa aktivis lain.

Freedom Plaza dan bahagian-bahagian lain di pusat DC kelihatan sesak. Ed Martin, salah seorang penganjur acara, mengatakan bahawa dia menganggarkan seramai 500 ribu orang mengambil bahagian dalam demonstrasi berkenaan, walaupun dia mengatakan bahawa beberapa media secara palsu mendakwa hanya beberapa ratus orang sahaja yang mengambil bahagian.

Orang ramai menyertai demonstrasi untuk menyokong Presiden Donald Trump di Washington pada 14 November 2020. (Lisa Fan/The Epoch Times)

Para peserta demonstrasi melaungkan slogan-slogan yang menyeru untuk “menghentikan pencurian,” yang juga merupakan nama gerakan akar umbi yang menganjurkan sebahagian dari acara tersebut. Penganjur Ali Alexander memberitahu The Epoch Times dalam wawancara sebelumnya bahawa peristiwa tersebut merupakan usaha akar umbi oleh gabungan sekitar seratus aktivis dan penyokong untuk menunjukkan “sokongan kepada Presiden Trump dan pilihan raya yang adil dan pengiraan yang telus.”

Acara serupa, walaupun berskala lebih kecil, dianjurkan di sekitar 50 negeri lain pada hari yang sama.

Trump sebelum ini telah memuat naik kiriman di laman Twitternya mengenai demonstrasi pada 13 November, dengan mengatakan bahawa beliau berasa sangat terharu untuk “melihat semua sokongan luar biasa di luar sana, terutama perarakan yang muncul di seluruh Negara, termasuk yang besar pada hari Sabtu di D.C.” Sebelum bermulanya perhimpunan rasmi, kenderaan Trump dilihat melewati Freedom Plaza, di mana beliau telah menyambut para peserta.

Presiden Donald Trump menyambut kehadiran peserta semasa tunjuk perasaan yang diadakan di Washington pada 14 November 2020. (Yi Ping / The Epoch Times)

Pilihan raya presiden yang dipertandingkan masih belum diputuskan, kerana kebanyakan keputusan di negeri di negara itu masih belum disahkan dan cabaran serta penghitungan undang-undang masih belum selesai. Kempen Trump telah meminta penghitungan semula di Wisconsin, dan Georgia telah mengumumkan penghitungan semula. Kempen Trump juga telah memfailkan tuntutan undang-undang di Pennsylvania, Arizona, dan Michigan dan mereka memaklumkan bahawa akan ada lebih banyak kes yang bakal diajukan di negeri-negeri lain pada hari-hari yang akan datang.

Mahkamah Agung AS seterusnya telah mengeluarkan perintah sementara pada 6 November yang mewajibkan Pennsylvania untuk memisahkan surat suara yang tiba setelah hari pilihan raya pada 3 November. Kempen Trump telah melancarkan tuntutan undang-undang di negeri itu, yang menuduh bahawa pegawai pilihan raya negeri berkenaan “salah mengatur proses pemilihan.”

Parti Republik Arizona dalam masa yang sama juga telah melancarkan tuntutan mahkamah untuk menuntut jumlah suara dari daerah, dengan harapan dapat menghasilkan persampelan jumlah undi yang lebih tepat. Kempen Trump juga telah menfailkan tuntutan yang menuduh penyimpangan dan pelanggaran pemilihan yang meluas di sebuah daerah di Michigan.

Sepanduk dari The Epoch Times dilihat pada tunjuk perasaan di Washington. (Teresa You)

Beberapa rangkaian, termasuk CNN, NBC, dan Fox News telah menyatakan calon presiden Demokrat Joe Biden sebagai pemenang, dan dakwaan ini telah ditolak oleh Trump yang mengatakan bahawa, “pilihan raya masih belum selesai.”

Menurut sebuah kiriman oleh Million Maga March di laman Twitter yang direka khas untuk acara berkenaan, orang ramai yang berkumpul di Washington juga dilihat turut memberi tekanan kepada rangkaian berita Fox News, dengan melaungkan “Fox News teruk”. Halaman Twitter, yang dibuat tepat sebelum acara bermula, telah meraih sekitar 30,000 pengikut dalam jangka masa yang sangat singkat.

Orang ramai menyertai demonstrasi untuk menyokong Presiden Donald Trump di Washington pada 14 November 2020. (Lisa Fan/The Epoch Times)

Turut serta dalam perhimpunan itu adalah sebuah kenderaan caravan yang menyeru penamatan Parti Komunis China (PKC), dengan kenderaan yang membawa papan tanda yang menunjukkan ratusan juta penduduk Cina yang telah keluar dari PKC. Pada 12 November, Trump mengeluarkan perintah eksekutif untuk menghentikan pelaburan dalam syarikat China yang berkaitan dengan tentera China, dengan alasan ancaman terhadap keselamatan negara. Langkah itu adalah sebahagian daripada banyak tindakan balas yang diambil oleh pentadbiran Trump terhadap rejim komunis China.

Penganjur acara Alexander memberitahu The Epoch Times bahawa gabungan organisasi itu merancang untuk mengadakan acara pada setiap hari Sabtu pada waktu tengah hari di setiap ibu kota negeri sehingga kolej pemilihan membuat keputusan akhir mengenai jawatan presiden.

“Jadi, kekal berada di jalanan, adalah pesan saya kepada orang ramai kerana mereka menapis acara kami secara dalam talian. Mereka berbohong kepada kami melalui media arus perdana. Jadi satu-satunya cara untuk kita dapat terus menyampaikan idea dan peristiwa sebenarnya adalah melalui pertemuan di luar talian. Dan itulah yang kami lakukan,” kata Alexander.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular