Albino bukan sahaja boleh terjadi kepada manusia tetapi juga haiwan. Penyakit ini terjadi disebabkan oleh masalah atau mutasi pada genetik yang mengakibatkan kurangnya penghasilan pigmen melanin.

Pigmen melanin ini berfungsi dalam memberikan warna pada kulit, rambut dan mata selain berupaya menyerap sinaran ultraungu sekali gus mengelakkan kerosakan kulit.

Mungkin kita pernah terserempak atau melihat di Internet gambar-gambar individu mahupun haiwan yang mempunyai kulit cerah dan bulu berwarna putih. Tetapi bagaimana pula jika anda melihat kewujudan sepohon pokok pisang yang daunnya memutih dan tidak menghijau?

Detik

Kejadian ini dilaporkan berlaku di Desa Bulung, Cangkring, daerah Jekulo, Kudus, Indonesia. Dikatakan kewujudan daun pisang berwarna putih yang kelihatan persis kain kafan itu telah menggemparkan seluruh penduduk kampung dan membuatkan ia menjadi bualan hangat di media sosial lebih-lebih lagi kerana pokok pisang ini dikatakan tumbuh berdekatan dengan kawasan perkuburan.

Menurut salah seorang penduduk di kawasan sekitar iaitu Siti Sukoco, penampakan daun pisang berwarna putih itu menyebabkan ramai yang terkejut kerana tidak pernah melihat kejadian seperti itu berlaku di mana-mana. Bagaimanapun, daun pisang berkenaan dikatakan semakin layu dan tidak lagi segar sepertimana ketika ia pertama kali dilihat pada Isnin lalu.

Detik

“Biasanya daun pisang berwarna hijau muda atau hijau tua. Fenomena seperti ini jarang sekali berlaku. Warna daunnya putih seperti kain kafan, serupa dengan pakaian solat wanita,” kata Ismiati, salah seorang penduduk kampung.

Fenomena aneh ini meraih perhatian ramai penduduk yang bergegas ke kawasan berkenaan untuk melihat sendiri kejadian daun pisang berwarna putih itu. Memandangkan kawasan ini telah menjadi tumpuan orang ramai, terdapat segelintir peniaga mengambil kesempatan dengan membuka gerai jualan masing-masing.

Detik

Bagaimanapun menurut pegawai Sucipto dari Pengendalian Hama Tumbuhan (POPT-PHP) daerah Jawa Tengah, fenomena daun pisang berwarna putih ini adalah disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai virus fusarium selain disebabkan oleh kurangnya pendedahan terhadap cahaya matahari. 

“Daun pisang itu berwarna putih disebabkan oleh virus fusarium. Selain itu, ianya adalah disebabkan oleh akar tanaman pisang yang busuk kerana persekitaran tanah yang lembab dan kurangnya cahaya matahari”.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular