SITIAWAN – Persiapan menyambut perayaan Deepavali sebuah keluarga bertukar tragedi apabila  seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan maut akibat tertusuk pisau di Taman Cempaka, Kampung Koh, Sitiawan pada 14 November.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa dikenali J Adithiyan yang berusia 7 tahun, dilaporkan tertusuk pisau di bahagian dada ketika berada di rumah ibu bapa saudaranya.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan sedang berlari masuk ke dalam rumah dan bertembung sesama sendiri dengan sepupu perempuannya yang berusia 11 tahun di hadapan pintu rumah, yang ketika itu sedang memegang pisau dan secara tidak sengaja ia telah tertusuk di bahagian dada.

Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Seri Manjung.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut sambil memaklumkan kes masih dalam siasatan dan enggan mengulas lanjut.

Beliau turut memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan lengkap bedah siasat kes berkenaan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular