Menjadi ibu bapa adalah satu pengalaman yang cukup mencabar dan pada masa yang sama, menyeronokkan. Tetapi buat mereka yang baharu menjadi ibu bapa, pasti banyak perkara yang harus dipelajari daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Bagaimana cara untuk menyusukan bayi, memakaikan lampin, memandikan bayi dan memberi makanan pejal, itu semua adalah aspek penting bagi memastikan bayi kita sentiasa sihat dan menjalani proses pembesaran dengan sempurna.

Baru-baru ini,  video seorang lelaki dari Vietnam sedang memberikan demonstrasi tentang cara-cara memandikan bayi menjadi tular. Lelaki yang bakal menjadi datuk ini telah memberikan tunjuk ajar kepada anak lelakinya yang bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi. Namun, dalam sesi demonstrasi itu, datuk ini tidak menggunakan bayi atau anak patung sebagai model, tetapi menggunakan kucing peliharaan mereka yang sangat comel!

Vinh Quang Pham telah berkongsi video berdurasi 2 minit 16 saat itu di Facebook dan menyebabkan warganet tidak henti-henti menekan butang Suka dan Kongsi. Dalam video yang dimuat naik pada 7 November lalu, datuk ini telah menjadikan seekor anak kucing yang baik sebagai model bayi.

Anak kucing ini dilihat sangat patuh dan dengan redanya hanya membiarkan tuannya melakukan apa sahaja yang dimahukan. Anak kucing ini didukung, dimasukkan ke dalam besen kecil, dibelai sambil ‘dimandikan’ dan tidak sedikit pun membantah.

Video ini menjadi bualan hangat dan membuatkan warganet terhibur melihat kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh anak kucing itu sepanjang menjadi model bayi dalam sesi demostrasi tersebut. Menurut tafsiran daripada TheSmartLocal Vietnam, bapa Vinh telah menceritakan secara terperinci cara-cara memandikan bayi yang baharu lahir.

“Kalau nak bersihkan kepala bayi, mula-mula kena letak bayi di atas riba dan balutkan dengan tuala supaya bayi tidak kesejukan. Berhati-hati jangan sampai air masuk ke dalam telinga bayi”.

Selain daripada menunjukkan cara-cara memandikan bayi, datuk ini turut menunjukkan bagaimana cara untuk mengeringkan bayi sebelum menidurkan mereka. Ternyata, anak kucing ini sangat menikmati saat-saat dibelai dan ‘dimandikan’ itu. Yang pasti, kedua bakal ibu bapa ini pasti akan mengharungi hari-hari mendatang dengan lancar kerana sekiranya ada sebarang masalah, mereka hanya perlu merujuk kepada bapa mereka dan mendapatkan perkhidmatan demonstrasi sekali lagi. Kucing itu juga pasti tiada masalah untuk memberikan kerjasama. 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Ria VIDEO

Video Popular