KUALA LUMPUR – Seramai 9 wanita  telah dikenakan tindakan saman sebanyak RM1,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menyertai kelas latihan yoga di sebuah rumah.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi, pihaknya telah melakukan serbuan ke atas rumah berkenaan yang terletak di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur sekitar jam 8.50 pagi, 10 November setelah menerima beberapa aduan daripada orang ramai.

Gambar sekadar ilustrasi | Google Maps

“Semakan di dalam rumah mendapati terdapat lapan wanita tempatan termasuk penganjur serta seorang wanita warganegara United Kingdom yang juga peserta kelas yoga berkenaan. Mereka berusia antara 37 hingga 60 tahun”.

Kata Zairulnizam lagi, “Ketika pemeriksaan dilakukan, pihak penganjur tidak memberikan kerjasama dan mempertikaikan tindakan polis membuat pemeriksaan serta pemantauan prosedur operasi standard (SOP) PKPB di rumah berkenaan”.

Berdasarkan siasatan, didapati rumah yang menjadi pusat latihan yoga itu merupakan rumah milik persendirian dan kesemua wanita yang terlibat telah dibawa ke Balai Polis Sri Hartamas bagi tindakan kompaun. Tindakan ini diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sementara itu, penganjur yang juga pemilik premis berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana tindakannya yang  menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

“Tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar SOP PKPB. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak polis Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut. Kerjasama daripada orang ramai penting bagi memutuskan rantaian COVID-19”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP NASIONAL

Video Popular