Capybara atau nama saintifiknya Hydrochoerus hydrochaeris merupakan sejenis mamalia dari spesies rodensia. Haiwan herbivor ini boleh ditemui di bahagian utara dan selatan Amerika dan saiznya boleh membesar sehingga dua kali ganda berbanding memerang!

Menyebut tentang haiwan liar, ramai yang akan berjaga-jaga sebelum mendekatinya kerana bimbang akan serangan yang boleh dilakukan oleh haiwan liar ini sehingga mereka berasa terancam. Menerusi video yang tular di Twitter baru-baru ini, anda akan menyaksikan ‘serangan’ seekor Capybara yang pastinya akan membuatkan anda terkejut!

Video yang dimuat naik pada 18 Mei lalu oleh pengguna Twitter @BeardedGenius ini telah menarik hampir 78,000 tanda suka. Dengan kapsyen, “Semua orang menyangka capybara adalah haiwan yang comel dan tidak berbahaya tetapi lihat video ini dan tunggu serangan yang dilancarkan oleh capybara tersebut”, video ini telah menular dengan meluas dan meraih pelbagai respon daripada warganet.

Dalam video berdurasi 42 saat itu, seorang wanita dilihat menghampiri seekor capybara yang sedang bermalas-malasan di atas rumput. Ketika dihampiri, capybara ini langsung tidak mengendahkan wanita tersebut dan terus mendiamkan diri sambil menikmati pemandangan segar di kawasan itu.

Melihat capybara yang comel dan gempal ini membuatkan wanita berkenaan ingin mendekati dan menggunakan peluang keemasan ini untuk menyentuh haiwan liar itu. Pada awalnya wanita tersebut cuba untuk menyentuh bahagian kepala capybara itu dan membelainya.

Selepas dibelai, capybara ini terus melancarkan ‘serangan’ yang bakal membuatkan jantung wanita ini dan juga anda yang menontonnya berdegup kencang!

Secara tiba-tiba, belaian lembut wanita ini menyebabkan capybara tersebut terus merebahkan badannya dan mendedahkan bahagian perutnya ke arah wanita tersebut. Capybara ini seolah-olah memberi isyarat kepada wanita ini untuk mengusap perutnya yang bulat itu. Comel betul!

Inilah ‘serangan’ yang dikatakan telah menyebabkan hati majoriti warganet cair! Serangan comel itu membuatkan ramai beranggapan tingkah laku capybara seperti seekor anjing yang sangat manja! Sesiapa yang melihatnya pasti akan menjerit kegembiraan seperti wanita ini yang berpeluang untuk mendekati seekor capybara dan merasai pengalaman yang cukup memberi keterujaan itu.

Warganet turut melontarkan pelbagai komen dan reaksi berkenaan video itu. Antaranya:

“Saya langsung tidak bersimpati dengan wanita ini. Dia yang mahukannya!”

“Saya tahan nafas sepanjang video ini dimainkan dan terfikir, bagaimana capybara ini melakukan serangannya? Haiwan liar tidak boleh dibuat main!”

“Sangat kejam, tiada seorang pun manusia yang boleh bertahan dengan serangan sebegini”

Maybe you're interested :

Share

Video Popular