Rakaman video tular di media sosial menunjukkan aksi kanak-kanak lelaki berusia bawah 10 tahun menunggang motosikal akhirnya membawa padah.

Ia apabila pihak berkuasa dilaporkan telah mengenakan tindakan terhadap budak lelaki tersebut dan juga ibu bapanya.

Kejadian melibatkan budak berkenaan dipercayai berlaku di simpang tiga Kampung Paya Chegar yang terletak di Jitra, Kedah pada 8 November lalu.

Info Roadblock JPJ/POLIS / Facebook

Video berdurasi 19 saat itu jelas menunjukkan budak terbabit berada di persimpangan jalan dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata kes telah dianggap selesai setelah waris membawa budak terbabit menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Kanak-kanak tersebut dikenakan tindakan di bawah kesalahan lalu lintas kerana menunggang motosikal di bawah umur, cukai jualan telah tamat tempoh, tidak dilindungi dengan perlindungan insurans serta tidak memakai topi keledar.

Info Roadblock JPJ/POLIS / Facebook

Sementara warisnya pula dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan kanak-kanak memandu kenderaan bermotor walaupun masih di bawah umur.

Sehubungan dengan kes ini, para ibu bapa dinasihati untuk memberi perhatian kepada anak masing-masing khususnya apabila ia melibatkan aspek keselamatan lalu lintas di jalan raya.

Ianya perlu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku. Ingat, beringat sebelum terlambat dan sentiasa awasi anak anda.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular