Anjing adalah salah satu haiwan yang paling setia dengan pemiliknya. Walau apapun yang terjadi, mereka lazimnya akan ‘menunggu’ pemiliknya.

Begitulah yang berlaku kepada seekor anjing berbaka Labrador dari Minnesota, Amerika Syarikat, Otis, apabila Otis dan pemiliknya pergi masuk ke dalam hutan untuk berburu di musim sejuk.

Walau bagaimanapun, di dalam hutan tersebut, pemilik Otis secara tiba-tiba telah diserang sakit jantung dan meninggal dunia di sisi Otis di dalam hutan yang tebal itu. Untuk masa 3 hari, Otis hanya menemani mendiang pemiliknya di lokasi yang sama, menahan suhu yang sejuk demi kesetiaan kepada pemiliknya.

Selepas 3 hari tidak mendengar khabar berita daripada pemilik Otis, keluarga pemiliknya mula melancarkan misi untuk mencari pemilik Otis. Bagaimanapun, sebaik sahaja Otis melihat kelibat manusia yang berjaya menemui lokasi mereka, Otis dengan rasa takut segera melarikan diri ke dalam hutan yang tebal dan tidak ditemui lagi selepas itu.

Bimbang dengan keselamatan Otis di dalam hutan yang bersendirian, keluarga pemilik Otis selepas selesai menyempurnakan pengebumian pemilik Otis dengan segera menghubungi organisasi penyelamat tempatan, The Retrivers, yang selalu membantu mencari anjing yang hilang.

Dengan kaedah pencarian yang mudah iaitu dengan meletakkan pakaian pemilik Otis yang masih belum dicuci di dalam hutan, Otis dengan mudahnya memunculkan diri dan duduk bersebelahan dengan pakaian pemiliknya itu apabila pasukan penyelamat kembali ke lokasi pakaian yang telah diletakkan sebelum itu.

Selain daripada membawa makanan untuk Otis yang kelaparan, pasukan penyelamat juga membawa seekor lagi anjing untuk membantu mencari Otis.

“Apabila berlakunya insiden trauma seperti kemalangan, atau kebakaran rumah atau insiden yang seumpamanya, anjing kebiasaannya akan kekal berada di kawasan yang berdekatan, mereka cenderung untuk berkeliaran di kawasan tersebut kerana kawasan itu adalah kawasan terakhir mereka melihat pemilik mereka. 

“Sebab itulah mereka sering kembali ke lokasi yang sama, di tempat kejadian, manusia meletakkan pakaian dan makanan, dan anjing itu pasti akan datang semula,” kata Amy Addy dari pasukan anjing hilang The Retrievers ketika ditemubual oleh WDIO News.

Syukurlah, kini Otis telah selamat menemui keluarga pemiliknya dan diharapkan agar Otis tetap bersemangat untuk meneruskan hidup tanpa pemilik yang disayangi bersamanya lagi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular