Memesan makanan menggunakan mana-mana platform dalam talian kini dilihat sebagai satu trend yang begitu ketara, lebih-lebih lagi tatkala pandemik COVID-19 ini melanda.

Ia lebih memudahkan kita. Oleh yang demikian, kita juga harus menghargai pengorbanan para penghantar makanan yang sanggup berpanas dan berhujan demi mengeyangkan perut kita.

Baru-baru ini, satu perkongsian di laman Facebook oleh Kian Kee Teh ternyata membuka mata netizen, di mana wanita itu difahamkan berhadapan dengan satu situasi yang menyentuh hati.

Kian Kee difahamkan ternampak seorang penghantar makanan yang sedang bercangkung di tepi jalan tatkala hujan turun dengan lebat untuk mengutip bungkusan makanan yang dipercayai terjatuh.

Penghantar makanan berkenaan dilihat acap kali memeriksa bungkusan makanannya selepas mendapati tali beg yang digalasnya untuk membawa makanan itu telah putus.

Melihatkan keadaan itu, Kian Kee yang sedang memandu kemudiannya memberhentikan kereta lalu membawa payung untuk pemuda penghantar makanan berkenaan.

Mujurlah kesemua makanan itu masih dalam keadaan yang baik. Kian Kee kemudiannya memutuskan untuk membawakan makanan itu ke dalam keretanya lalu meneman penghantar makanan itu menyelesaikan tugasannya.

Bukan itu sahaja, bahkan wanita berjiwa murni itu turut memberikan tuala agar penghantar makanan tersebut dapat mengeringkan tubuhnya yang terkena hujan.

Perkongsian Kian Kee itu telah menerima lebih kurang 15,000 reaksi warganet yang rata-ratanya amat mengagumi kebaikan yang ditonjolkan oleh Kian Kee.

Walaupun Kian Kee pada mulanya enggan dirinya dibasahi hujan namun dia langsung tidak berkira apabila berhadapan dengan individu yang sedang dilanda kesusahan.

Semoga tindakan Kian ini memberi teladan buat kita semua. Peka dan sentiasa prihatin dengan persekitaran kita ya? Syabas buat Kian Kee, anda wajarnya mendapat pujian ramai!

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular