Ekoran penularan semula wabak COVID-19 khasnya di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat bahawa ada keperluan untuk meneliti Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau berkata mengenainya ketika Sidang Khas Majlis Keselamatan Negera (MKN) harian berlangsung.

PKPP yang sepatutnya berakhir pada Disember ini perlu diteliti semula memandangkan situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada kawasan yang terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

(GOH CHAI HIN/AFP via Getty Images)

“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai cabaran Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan 5 Disember ini dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda”.

Kebimbangan susulan peningkatan kes positif COVID-19 turut dizahirkan beliau terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Johor.

Ini berhubung kawasan tersebut yang sebelumnya merupakan zon hijau bertukar kepada zon kuning dan merah sedangkan pendekatan mitigasi dan intervensi telah pun dipertingkatkan.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia untuk mengerjakan umrah walaupun ianya dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Mengenai majlis perkahwinan dan solat Jumaat pula, kerajaan telah pun melakukan ketetapan dan ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dilaksanakan.

Menyentuh tentang sidang Dewan Rakyat yang bermula 2 November lalu, beliau menjelaskan bahawa ia berlangsung dalam keadaan norma baharu, dengan pelbagai SOP diperkenalkan.

Sungguhpun begitu, sidang Parlimen pada minggu ini akan diadakan setakat jam 1 petang sahaja berikutan terdapat beberapa kes COVID-19 melibatkan petugas di Bangunan Parlimen dilaporkan.

“Timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan Ahli Parlimen kerana kedudukan bangunan itu yang terletak di zon merah”, jelas beliau yang percayai bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dapat menggunakan kebijaksanaan beliau untuk mengendalikan hal itu.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular