ROTTERDAM – Sebuah kereta api metro di Belanda terselamat daripada terjunam ke bawah apabila ia tersangkut pada satu arca berbentuk ekor ikan paus.

Menurut laporan, kejadian di stesen De Akkers pada jam 12:30 pagi itu berlaku setelah kereta api berkenaan merempuh penghadang.

“Kami lega apabila operator kereta api itu berjaya keluar tanpa sebarang kecederaan. Pada ketika itu juga tiada penumpang”, kata wakil pihak RET, syarikat pengendali pengangkutan itu.

Gambar yang diambil di Spijkenisse, pada 2 November 2020. (ROBIN UTRECHT/ANP/AFP via Getty Images)

Satu siasatan sedang dijalankan dan pihak RET kini sedang membincangkan tentang cara untuk menyelamatkan kerosakan pada kereta api berkenaan.

Kereta api yang berada pada stesen paling Selatan dalam sistem metro di Rotterdam ini akan terjunam lebih 30 kaki ke bawah jika tidak tersangkut pada arca ikan paus itu.

Arca berbentuk dua ekor ikan paus itu telah dibina oleh seorang arkitek, Maarten Struijs sekitar 20 tahun yang lalu.

“Saya sangat terkejut. Saya tidak menyangka insiden ini akan berlaku. Penyangga itu masih lagi kuat. Jadi kini saya menunggu laporan berhubung siasatan kemalangan ini”, kata Maarten.

Sebuah kereta api metro di Belanda terselamat daripada terjunam ke bawah apabila ia tersangkut pada satu arca berbentuk ekor ikan paus. (JEFFREY GROENEWEG/ANP/AFP via Getty Images)

Jelas beliau lagi, arca ekor ikan paus itu sebenarnya diperbuat daripada poliester dan pastinya akan rosak akibat kemalangan itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta api tersebut menurunkan penumpang di stesen sebelum terus ke kawasan parkir, iaitu lokasi di mana kejadian itu berlaku.

Laluan kereta api itu difahamkan dibina pada taman yang sering digunakan oleh penduduk setempat dan sebagai ganti rugi, penduduk meminta arca itu dibina atas kehilangan ruangan di taman itu.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular