PAGOH – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November, akan memberi tumpuan untuk memerangi pandemik COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin berkata sebagai kerajaan yang peduli rakyat, cadangan dan langkah-langkah tambahan yang bersesuaian pada tahun fiskal berikutnya adalah untuk memulihkan kehidupan rakyat.

“Kerajaan Perikatan Nasional prihatin dan akan mengusulkan langkah tambahan yang bersesuaian. Sebelum ini, RM7 bilion sudah digunakan bagi melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu meringankan beban rakyat, Belanjawan 2021 akan memberi tumpuan bagi mengawal dan mencegah pandemik COVID-19 disamping meringankan beban rakyat,” katanya. 

@BernamaTV/Twitter

“Sehingga kini, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2 bilion untuk Kementerian Kesihatan. Di Sabah sahaja, RM400 juta telah dibelanjakan dalam beberapa minggu terakhir. Ini melibatkan pengagihan ke seluruh isi rumah, bantuan makanan dan peralatan perubatan,” tambahnya.

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian ketika berucap dalam perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-24 Koperasi Sungai Terap dan Sungai Raya Muar Berhad di SMK Bukit Pasir, Pagoh.

Beliau berkata kerajaan telah berjanji untuk memerangi pandemik dari segi bantuan kewangan dan akan terus membantu rakyat yang terjejas, dan menyedari cadangan bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat pandemik.

“Saya hendak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (membenarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu,” katanya.

“Ini adalah simpanan hari tua. Jika kerajaan membenarkan perkara ini dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, anda akan menghadapi masalah besar pada masa hadapan,” tegas Tan Sri Muhyiddin.

“Kerajaan sudah menyediakan peruntukan yang akan disalurkan tidak lama lagi. Jangan tanya, kami akan mengeluarkan peruntukan berbilion ringgit untuk membantu rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, pada masa sama beliau juga tidak boleh menasihatkan rakyat untuk mengikat perut kerana bimbang tidak disenangi mereka.

“Saya tidak boleh menasihat rakyat untuk mengikat perut, nanti ada orang marah kata perut dia besar, perut kita suruh berikat. Saya takut hendak cakap sekarang, takut tersalah cakap.”

“Sesetengah pihak kata Perdana Menteri bolehlah hidup, kami di bawah ini tidak boleh hidup. Saya tahu, sekarang seluruh negara dan dunia dalam keadaan pandemik ini, semua orang dalam masalah,” katanya.

@BernamaTV/Twitter

“Kerajaan mesti membiarkan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa, tetapi pada waktu sama, harus membendung penyebaran COVID-19, dengan menetapkan sekatan khusus. Ini adalah perkara yang sukar,” tambahnya.

Tan Sri Muhyiddin turut menekankan sejak pandemik COVID-19 menular ke seluruh negara pada awal tahun ini, pasukan barisan hadapan telah bekerja keras untuk mengawal wabak demi memutuskan rantaian itu daripada terus merebak dan pengorbanan mereka amat besar.

“Kerana mereka bekerja keras setiap detik untuk melindungi hidup kita, mereka keletihan dan berada dalam tekanan setiap hari. Ini adalah pengorbanan orang luar biasa. Semua menggelar mereka wira tidak didendang. Oleh itu, kita mesti mengucapkan terima kasih kepada mereka yang berada di barisan hadapan kerana pengorbanan mereka demi membantu kita, melindungi keselamatan kita daripada ancaman COVID-19,” Tan Sri Muhyiddin menzahirkan penghargaan dalam ucapan itu.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular