Asteroid dengan gelaran Apophis atau ‘Dewa Kekacauan’ dalam bahasa Greek didapati telah bergerak lebih pantas dan ketika ini sedang menuju ke Bumi, demikian amaran diberi oleh pakar asteroid dan ahli astronomi dari Universiti Hawaii.

Ahli astronomi menjangkakan asteroid Apophis berpotensi menghentam Bumi dalam masa 48 tahun lagi iaitu pada tahun 2068.

Ahli astronomi dari Universiti Hawaii mengesahkan asteroid Apophis telah mempercepatkan pergerakannya di laluan biasa kerana terdedah kepada radiasi yang tidak seragam dari matahari.

Dianggarkan dengan penemuan ini, sekiranya asteroid tersebut terus memecut dan kemungkinan akan menghentam Bumi pada 12 April 2068, ia boleh menjadi malapetaka besar buat peradaban dunia.

Asteroid Apophis dengan ukuran sepanjang 304 meter (1000 kaki) akan memberi impak hentaman bersamaan dengan 880 juta tan trinitrotoluene (TNT) sekiranya ia meletup sekaligus.

Asteroid ini pertama kali ditemui pada 19 Jun 2004 oleh ahli astronomi di Balai Cerap Nasional Kitt Peak, di Arizona, Amerika Syarikat.

Ketika Apophis ditemui, para pakar mengatakan terdapat kemungkinan 2.7% asteroid itu untuk menghentam bumi pada tahun 2029. Namun, jangkaan ini ternyata meleset kerana berdasarkan data pemerhatian terbaru, asteroid ini dijangka akan melalui orbit bumi dengan selamat pada jarak 31.8 ribu kilometer dari bumi. 

Baru-baru ini, pasukan saintis dan penyelidik mendapati bahawa asteroid tersebut telah memecut dengan analisis yang digelar mereka sebagai kesan Yarkovsky dari sinaran matahari yang bertindak sebagai pendorong kepada kelajuan asteroid.

Seorang ahli astronomi di Balai Cerap Nasional Kitt Peak di Arizona bernama Dave Tholen berkata, beliau merupakan ahli astronomi pertama yang melihat pecutan asteroid tersebut.

“Pemerhatian terbaru yang kami peroleh dari teleskop Subaru pada awal tahun ini cukup mengejutkan untuk mengetahui bahawa kesan kecepatan Yarkovsky berlaku pada asteroid Apophis. Asteroid ini masih jauh dari orbit graviti bumi sekitar 170 meter setahun, yang mana masih cukup waktu menunggu senario terburuk, yang merupakan kemungkinan perlanggaran pada tahun 2068 iaitu dalam masa 48 tahun lagi,” kata Dave Tholen kepada Daily Mail.

Merujuk kepada data pemerhatian kalangan ahli astronomi, NASA menamakan asteroid itu Apophis atau ‘Dewa Kekacauan’ dengan menyenaraikannya sebagai asteroid dalam ruang ancaman ketiga tertinggi di Sentry Risk Table, NASA.

Berdasarkan gambar radar yang diperoleh NASA, asteroid tersebut mempunyai bentuk memanjang dengan dua lobus, menyerupai kacang. Para saintis dan ahli astronomi mengesyaki asteroid ini terdiri daripada bahan nikel dan besi.

Para penyelidik terus giat melakukan pemerhatian untuk memahami lebih lanjut gerakan kesan Yarkovsky ke atas asteroid Apophis.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular